KELAB GREENBOC
Kalau TV3, Utusan, RTM sokong Khalid, bermakna Khalid jahatPemerhati politik, Hishamuddin Rais menjelaskan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya meletakkan jawatannya bukan hari ini, tetapi semalam.
“Khalid tidak lagi mewakili sesiapa, dan partinya juga tidak lagi menyokongnya dan kini yang menyokongnya hanyalah Hadi dan ‘Din xxxx’,” katanya dalam Forum Krisis Selangor-Pakatan Berpecah di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), malam tadi.
Beliau yang juga merupakan seorang aktivis politik difahamkan bahawa PKR telah bermesyuarat dan Presiden PKR meminta untuk bertemu dengan Khalid yang pada awalnya telah bersetuju namun kemudiannya dibatalkan.
“Kalau parti tidak lagi menyokong kamu, kamu mewakili beruk mana?” soalnya.
Dalam majlis yang sama, Hishamuddin turut menyatakan bahawa beliau sering mendapat surat yang mempersoalkan kenapa masalah rasuah dan sebagainya tidak disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Respon beliau berkenaan hal tersebut adalah kerana SPRM hanya senjata dari BN untuk membunuh musuh politiknya dan bukan untuk menyelesaikan masalah rasuah.
“Kenapa tuan-tuan semua tidak faham, kalau SPRM menjalankan tugasnya untuk menyelesaikan masalah rasuah, Najib, Hishamuddin, Muhyiddin semuanya kini duduk di (penjara) Kajang,” ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) Faekah Husin yang mengancam untuk membubarkan DUN, Hishamuddin dengan tegas mengutarakan pandangannya.
“Teruskan dan kita tidak takut kerana orang kampung suka. Kalau dibubarkan DUN, inilah masanya untuk PKR tidak melantik lagi Xavier dan Amir Shaari, kita buang mereka.”
Beliau turut menjelaskan bahawa mungkin PKR kalah pada kali ini, tetapi PKR tidak mahu hilang kredibiliti.
“Di Malaysia, politiknya mudah sahaja, tidak perlu belajar tinggi-tinggi, siapa yang disokong oleh Utusan Malaysia dan TV3, itu bermakna orang itu adalah orang jahat.
“Takkan kamu semua tidak faham-faham lagi, kalau musuh kita memuji kita, ada maknanya tu,” ujarnya.
Jelasnya, jika pihak RTM, TV3 memuji Khalid, bermakna Khalid itu orang jahat.
“Kalau RTM puji Tony Pua, itu bermakna Tony Pua telah memegang kerajaan,” katanya. -FMT
Surat tunjuk sebab Khalid tiada cacat cela, kata Surendran
Mempertahankan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang dilabel "cacat" oleh menteri besar Selangor itu, Naib Presiden PKR N Surendran berkata ia lengkap mengikut prosedur dan adil.
Katanya, tidak wujud langsung kekaburan atau apa yang didakwa Khalid sebagai tidak spesifik dalam surat tunjuk sebab itu, sebaliknya Khalid diberi peluang mempertahankan dirinya seperti dalam mana-mana proses perundangan biasa.
"Kritikan Khalid tidak berasas langsung. Adil mengikut prosedur hanya bermakna dakwaan atas ahli parti yang bersalah dinyatakan dengan jelas dalam surat tunjuk sebab. Ini yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.
"Dakwaan surat bertarikh 5 Ogos 2014 menyatakan Khalid melalui satu kenyataan akhbar bertarikh 22 Julai 2014 mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.
"Bermakna, tiada yang kabur atau kurang spesifik dalam surat itu seperti dakwaan Khalid. Surat itu memberi peluang menerangkan tindakannya, memenuhi kehendak keadilan asasi," kata Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai.
Khalid menganggap surat tunjuk sebab itu “cacat” dan meminta notis lebih jelas dan spesifik dikeluarkan kerana ia "tanpa butir relevan serta memadai" bagai membolehkannya menjawab.
Kata menteri besar yang dalam proses penyingkiran itu, beliau tidak akan menjawab surat itu "sehingga menerima notis yang sah" walaupun surat tunjuk sebab itu pada asalnya memintanya menjawab sebelum atau pada 8 Ogos.
Khalid berkata, apabila satu notis tunjuk sebab dikeluarkan, menjadi keperluan utama notis tersebut menyatakan dengan jelas dan spesifik semua tuduhan yang dikenakan.
Katanya, wajar dijelaskan secara bertulis pelanggaran yang dilakukan terhadap mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti atau peruntukan lain di mana hukuman boleh dikenakan terhadapnya.
Surendran berkata tiada keperluan memetik peruntukan khusus di bawah perlembagaan parti seperti diminta Khalid dalam suratnya kepada Pengerusi Lembaga Disiplin Datuk Dr Tan Kee Kwong.
Mengenai kedudukannya sebagai menteri besar, Surendran berkata adalah menakjubkan melihat Khalid bersungguh-sungguh berpegang kepada kerusi itu walaupun parti membuat keputusan menukarnya.
"Tindakan itu bertentangan dengan semua kebiasaan dan amalan terdahulu dalam demokrasi moden berasaskan parti politik. Pendiriannya tidak bermaruah. Beliau mesti terima keputusan parti dan tinggalkan pejabatnya," katanya. -TMI
LIHAT VIDEO DI SINI:
VIDEO -1
VIDEO -2