Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Ahli politik PR wajar contohi Najwa Latif

$
0
0
FMT LETTER: Wan Salman Wan Sallam

 
najwa latif


Krisis Menteri Besar Selangor yang boleh disifatkan sebagai krisis Parti Keadilan Rakyat (PKR), politik Selangor dan politik Pakatan Rakyat (PR) pada peringkat nasional kini dilihat meruncing gara-gara semua pihak tidak mahu mengalah dan berkompromi.

Hari ini, makin terdedahlah betapa banyak sebenarnya pembahagian kem-kem tertentu dalam PR.
Kita dapat melihat kini mereka telah terbahagi dan makin terpolarisasi lebih daripada dahulu.

Namun begitu, krisis ini pada hakikatnya tidaklah seteruk mana yang disangkakan jika kita mempertimbangkan satu kelemahan PR dan parti komponennya yang dilihat melarat daripada peringkat akar umbi hinggalah kepimpinan; masalah PR mengurus persepsi umum.

Mengingatkan diri sendiri tentang masalah ini, saya teringat seorang penyanyi yang muda dan popular, Najwa Latif. Apa pula kaitan Najwa Latif dengan politik Malaysia, apatah lagi dengan krisis PR sekarang?

Ya, sememangnya ini bukan kaitannya dengan politik tetapi hal ini berkaitan bagaimana dia mengurus persepsi peminat dan orang awam ke atasnya memandangkan dalam setahun dua ini dia mendapat perhatian umum, jika bukan seorang tokoh.

Ketika mana sebuah akhbar tabloid tempatan melaporkan ayahnya yang telah bercerai dengan ibunya mendakwa bahawa Najwa tidak lagi menghormatinya sebagai ayah kandungnya dan seolah-olah Najwa mahu berenggang dengan ayahnya.

Najwa telah memilih jalan yang professional, bukan sekadar lebih professional berbanding artis tempatan lain yang lebih dewasa, malah boleh jadi lebih matang daripada ahli politik kita sekarang!

Najwa dengan mudah menolak untuk memberi sebarang komen dan menceritakan selanjutnya hal dalaman keluarga kerana dia memikirkan betapa banyak hati dan perasaan yang akan terluka jika kisah ini diungkit apatah lagi dikongsi di ruang umum.

Lihatlah sendiri! Artis yang umumnya sangat reaktif apabila bertembung dengan media pun tahu bagaimana menjaga aib dan perselisihan keluarga. Ahli politik pula bagaimana?

Saya kurang pasti sebenarnya dalam keadaan “Langkah Kajang” yang bukan sahaja kontroversial malah tidak menjadi, mengapa sebenarnya Anwar memilih untuk mengumumkan Azizah sebagai pengganti Khalid sebelum mesyuarat antara pimpinan PR biarpun PKR “mempunyai hak” menentukan MB?

Saya menghormati pendapat atas kapasiti parti PAS mahupun kapasiti peribadi Tuan Guru Haji Hadi tentang hal ini.

Namun perlukah dalam keadaan PR yang begitu renyah dalam kemelutan Khalid dan partinya beliau membuat pendirian mempertahankan Khalid yang mana bertentangan dengan sekutunya, DAP dan PKR?

Saya tidak bercakap tentang wajar atau tidak Khalid kekal atau disingkirkan.

Itu merupakan perbincangan yang berasingan di sini. Hal yang makin membarah dalam PR kini ialah sejauh mana komponen PR sendiri komited dalam memberikan imej PR yang bersatu-padu yang meyakinkan untuk menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Cubalah bayangkan sendiri, andaikan Anwar menghormati sekutu PR yang juga mempunyai pandangan mereka.

Tuan Guru Haji Hadi lebih menjaga imej perpaduan PR dan ahli akar umbi lebih telus apabila membaca perbincangan WhatsApp. Saya kira seteruk mana pun Anwar, Azmin mahupun Khalid, ia tidak akan kelihatan seteruk sekarang.

Memetik pendapat Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan “politik ialah sebuah pertandingan persepsi”.

Biarpun mungkin konteks Wan Saiful berlainan, namun tiada siapa yang berada dalam arena politik boleh menafikan kepentingan persepsi umum apatah lagi politik kepartian.

Jika bukan kerana persepsi dan sentimen, masakan Terengganu jatuh ke tangan PAS pada tahun 1999? Kita sendiri tahu apa sebabnya.


*Wan Salman Wan Sallam merupakan aktivis mahasiswa dan mengicau sebagai @salmanmohdwan

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722