Oleh Tamrin Ghafar
Pada pandangan saya, tugas utama pimpinan PAS, terutama pimpinan tertingginya, bukan saja memperkasakan PAS sebagai parti yang diterima semua kaum, sama pentingnya mentarbiyah ahli-ahlinya di semua peringkat.
Ia termasuk pimpinan bawahan dan pertengahannya supaya faham tanggungjawab dan peranan sebagai seorang Islam dan ahli parti Islam terhadap diri sendiri, keluarga, jemaah dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Di samping itu, disiplin dalam parti perlu dipertegas di semua peringkat tidak kira ahli biasa mahupun pemimpinnya.
Pimpinan PAS juga perlu mempunyai sifat sabar, berhati-hati, teliti, analitik, tidak gopoh-gapah dan terserempak, memikirkan baik buruk sebelum mengeluarkan satu-satu kenyataan atau mengambil tindakan.
Semangat setiakawan dan akur kepada kesepakatan perlu ada. Sifat suka berebut dan tamak perlu dikikis. PAS perlu ada sikap progresif bukannya regresif. Rasisme dan cauvinisme sama sekali tidak boleh dibenarkan dalam PAS.
Sesiapa di kalangan ahli PAS, khususnya pemimpin yang mengamalkan fahaman sempit dan tidak menguntungkan daripada segi politik dalam negara pelbagai kaum ini perlu dibersihkan daripada PAS.
Apatah lagi PAS selalu memetik maksud hadis Rasulullah:" Sesiapa yang mengamalkan assabiyah, mereka bukanlah daripada umatku."
Bagaimanapun, tidaklah bermakna PAS perlu meninggalkan perjuangan dan matlamat terasnya yang dituntut Allah.
Kalau begitu, kita pun tidak setuju kerana sebab utama kita menganggotai PAS kerana mencari dan mendapat keredaan Allah. –