PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan cadangan supaya syarikat-syarikat swasta memberikan Elaun Sara Hidup (Cola) RM300 kepada pekerja-pekerjanya.
Presidennya Khalid Atan berkata tuntutan tersebut adalah munasabah pada masa kini apabila pihaknya banyak menerima rungutan berhubung beban yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan mendadak kos sara hidup.
"Elaun RM300 ditambah dengan gaji minimum RM900 jika dapat dilaksanakan kerajaan akan dapat mengurangkan beban pekerja yang berpendapatan rendah.
"Kita terima terlalu banyak rungutan, walaupun gaji minima telah dilaksanakan, persoalan yang timbul adakah jumlah itu relevan lagi dengan keadaan sekarang di mana semua harga barang naik," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Menurut Khalid, pihaknya akan memanjangkan tuntutan ini dengan mengadakan rundingan dengan kerajaan walaupun peraturan ini pernah dicadangkan tidak lama dulu.
"Dulu kita pernah cadangkan (elaun) tapi tiada tindak balas.
"Sekarang kita akan panjangkannya sebab kos sara hidup naik mendadak dan dalam masa yang singkat," tegasnya.
Beliau berkata ramai kakitangan swasta terutama yang berpendapatan rendah merasai kesan dan tertekan dengan situasi ini.
Jelasnya, kenaikan kos sara hidup secara tidak langsung menyebabkan gaji dan kuasa membeli mengecil.
"Langkah penjimatan yang dicadangkan kerajaan memang bagus tapi sekarang jika gaji RM1,000 bagaimanakah lagi caranya pekerja dapat berjimat-cermat," katanya.
Khalid yang menyokong cadangan Kongres kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Khamis supaya kerajaan menaikkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 berkata elaun RM300 itu jika diberikan akan menyeimbangkan gaji di antara pekerja awam dan swasta.
Tambahnya, jumlah itu juga dapat menyeimbangkan peratus kenaikan gaji swasta iaitu sekitar 2.6 peratus dalam jangka masa 10 hingga 15 tahun berbanding peningkatan produktiviti 6.7 peratus.
Kenaikan gaji sektor awam adalah sekitar 2.5 peratus manakala kos sara hidup meningkat antara lapan dan 10 peratus.
Sehingga kini terdapat 10 juta pekerja sektor swasta di negara ini dan hampir lima juta pekerja di sektor itu kini memperoleh upah hanya kira-kira RM30 sehari, iaitu setakat melepasi garis kemiskinan RM870 sebulan.