Datuk Nur Jazlan Mohamed menyanggah pandangan sesetengah pihak yang mendakwa pertukaran kerajaan pemerintah di Malaysia akan dapat mengawal kenaikan harga barangan dan menyifatkan Barisan Nasional (BN) telah lama menangguhkan kenaikan harga barang.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata, kerajaan telah memberi isyarat dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bahawa subsidi akan diselaraskan menerusi Program Transformasi Ekonomi (GTP).
“Pertukaran kerajaan empat, lima kali sekali pun tidak boleh menjamin tiada kenaikan barang. Apa yang kerajaan boleh buat adalah menahan kenaikan harga terlalu mendadak. Kerajaan sekarang telah menahan kenaikan harga sekian lama.
“Tekanan berpunca daripada situasi dunia dan bukan daripada kerajaan. Jika kerajaan menekan rakyat, tanya kepada warga asing, adakah kerajaan mereka kisahkan mereka atau pun tidak. Di Malaysia semua orang nak bekerja dalam negara,” katanya dalam satu wawancara di Shah Alam hari ini.
Nur Jazlan berkata, rakyat Malaysia telah hidup selesa sejak 15 tahun lepas setelah banyak peluang pekerjaan dapat dijana selepas tahun 1990-an namun kini banyak dibantu Petronas bagi membantu mencergaskan ekonomi negara.
Katanya, harga tol yang mahu dinaikkan kerajaan sebenarnya dapat dikurangkan berikutan kebanyakan syarikat konsesi tol dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di bawah UEM dimiliki Khazanah Nasional. Jika ia milik kroni, tuan-tuanlah kroni kepada syarikat konsesi tol,” katanya yang turut menggesa kerajaan lebih telus menceritakan fakta dan memberi makluman awal jika berlaku kenaikan harga barang.
Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia yang juga merupakan panelis di forum tersebut, Prof Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, sebanyak 26 barang dikenal pasti mencatatkan kenaikan termasuk kos mengambil pembantu rumah.
Katanya, kenaikan harga barang bermula dengan kenaikan kos bahan bakar di mana peniaga memikirkan peningkatan kos yang dialami mereka tanpa menghiraukan apa yang akan berlaku kepada pengguna.
“Buat masa ini tiada yang pedulikan rakyat kecuali pada tahun 2018 kelak. Pihak peniaga meminta peningkatan pendapatan pada masa mereka mendapat keuntungan. Oleh itu, Malaysia menghadapi harga domino yang tidak berlaku di negara lain.
“Tambang bas sekolah mengalami kenaikan sekitar RM2 hingga RM6 manakala harga daging lembu juga naik kerana kita tidak mengeluarkan barangan makanan yang cukup kepada rakyat,” katanya yang turut mencadangkan harga dapat dikawal jika subsidi kepada petani ditambah.
Dalam satu sidang media yang diadakan selepas itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata Akta Persaingan yang telah dikuatkuasakan tidak mempunyai kuasa menyekat monopoli seperti dalam bidang utiliti dan komunikasi.
Katanya, Pakatan Rakyat (PR) telah pun mengambil pendekatan bahawa Akta Persaingan tidak akan berkesan sekiranya monopoli utama yang mempunyai pengaruh tidak dimasukkan di bawah bidang kuasa akta itu.
“Kejutan ekonomi yang berlaku kebelakangan ini bukti Akta Persaingan tidak berkesan dan perlu dipinda. Jika kerajaan terus bekeras untuk tidak meminda, akan ada lebih banyak persoalan daripada rakyat.
“Rakyat bertanya mengapa Akta Persaingan tidak digunakan bagi mengawal harga barang? Mereka tidak tahu akta itu hanya terpakai kepada perniagaan yang tidak ada monopoli. Apabila perniagaan besar dikeluarkan, mereka boleh menaikkan harga barang,” katanya yang turut menggesa kerajaan segera meminda akta itu.
Awal September tahun lalu, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia masing-masing didenda RM10 juta berikutan perjanjian singkat yang memberi impak kepada perkhidmatan penerbangan tempatan menurut Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Pengerusinya, Tan Sri Siti Norma Yaakob, berkata kedua-dua syarikat tersebut telah melanggar Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan 2010 dengan berpakat selama lapan bulan.
“Perkongsian pasaran merupakan pelanggaran serius di bawah akta berkenaan. Ia dilihat sebagai mencegah, menghalang atau memesongkan persaingan perkhidmatan pasaran barangan dan perkhidmatan.
“Apabila ada syarikat menyatakan kesediaan untuk berkongsi pasaran, mereka bersetuju untuk mengelak persaingan di mata pelanggan.
“Pemonopolian dibolehkan di Malaysia namun pelakuan tidak bersaing melanggar Akta Persaingan 2010,” katanya.