Sebanyak 31 organisasi terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, NGO dan persatuan terlibat dengan mesyuarat kumpulan sasar isu pembangunan wanita dan belia.Sebanyak 31 organisasi terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, NGO dan persatuan terlibat dengan mesyuarat kumpulan sasar isu pembangunan wanita dan belia.
 

KERAJAAN akan meneliti semua cadangan dan pandangan yang disuarakan agensi kerajaan, persatuan, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha merangka Bajet 2015.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, semua pendapat itu akan dipertimbangkan oleh jawatan kuasa Bajet 2015 yang dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan menteri Kabinet.

“Di bawah Kementerian Kewangan, kita ada lapan kumpulan sasaran membincangkan beberapa isu dan mendapatkan maklum balas, pendapat serta cadangan daripada kementerian, NGO dan persatuan untuk Bajet 2015.

“Hari ini (semalam), kita bincang mengenai isu kepentingan belia dan wanita. Walaupun ada perbincangan, namun kita masih harapkan input-input lain supaya dikongsikan kepada kami menerusi e-mel bajet2015@treasury.gov.my,” katanya selepas pertemuan dengan 31 agensi antaranya Jabatan Pembangunan Wanita dan Agensi Inovasi Malaysia bagi membincangkan isu pembangunan wanita dan belia di Putrajaya, semalam.

Tee Yong berkata, golongan wanita dan belia perlu diberi perhatian kerana mereka antara populasi tertinggi di Malaysia.

“Kita akan beri penekanan terhadap pembangunan kedua-dua golongan itu.

"Sebab itu, kita dapatkan maklum balas (daripada pihak berkepentingan) untuk melihat program bersesuaian dan memperuntukkan bajet (untuk mereka), namun bukan semua yang diminta dapat dilaksanakan, ia bergantung kepada kedudukan fiskal negara,” katanya.

Beliau berkata, hasil perbincangan tersebut, semua badan terlibat meminta supaya skim latihan belia diteruskan kerana golongan itu berdepan cabaran dalam pekerjaan.

“Ini kerana, hanya kira-kira 28 peratus daripada belia terlibat dalam sektor pekerjaan adalah mereka yang mempunyai pendidikan lebih daripada sekolah menengah. Jadi cadangan itu dikemukakan supaya skim latihan dapat tingkatkan kemahiran belia dan tingkatkan pekerja di negara kita.

“Selain itu, turut dibincangkan tentang kadar pengangguran belia, isu perumahan dan isu sosial. Ada pihak mencadangkan supaya ditubuhkan satu hotline khas untuk bantu golongan belia dan kita akan kaji perkara ini nanti,” katanya.

Bagi isu wanita, menurutnya, penekanan diberikan terhadap sektor pekerjaan golongan itu kerana kira-kira 52.4 peratus daripada mereka bekerja.

Bajet 2015 dijangka dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober ini.