Barisan kepimpinan Pemuda Pas Johor menghantar memorandum bagi mendesak supaya pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan.
JOHOR BAHRU - Pemuda Pas negeri menyokong penuh saranan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem pendaftaran sedia ada.
Ketua Pemudanya, Faizul Mohd Salleh berkata, langkah berkenaan penting bagi menyelesaikan pelbagai masalah dan kekurangan dalam pilihan raya di negara ini.
Menurutnya, ia dapat memudahkan pendaftaran pengundi baru dalam kalangan anak muda sekali gus menjimatkan kos yang dibelanjakan untuk kerja pendaftaran seperti sebelum ini.
Jelasnya, pelaksanaan sistem itu tidak menunjukkan SPR memaksa rakyat untuk mengundi dan kemahuan untuk keluar mengundi masih terletak di tangan mereka.
“SPR tidak perlu menggubal undang-undang yang mewajibkan setiap individu untuk keluar mengundi kerana SPR hanya perlu melayakkan rakyat untuk mendaftar pengundi secara automatik.
“Peratusan keluar mengundi juga akan meningkat atas kesedaran untuk keluar mengundi kerana galakan SPR yang memudahkan proses pendaftaran pengundi secara automatik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerah memorandum berkaitan isu berkenaan kepada SPR negeri yang diterima Pengarahnya, Rokiah Hanum Ibrahim.
Faizul berkata, untuk melaksanakan cadangan ini, pihak SPR perlu mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyalurkan senarai warganegara yang sudah mencapai umur 21 tahun.
Ujarnya, seterusnya, senarai data ini akan diproses oleh pegawai SPR untuk didaftarkan sebagai pengundi baru.
Beliau berkata, proses ini dilihat jauh lebih mudah untuk dilaksanakan dan dapat mengelakkan daripada kegiatann memanipulasi data oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Jadi, kami berharap pihak SPR dapat mempertimbangkan cadangan ini bagi memastikan sistem pilihanraya negara kita bersih dan telus daripada sebarang penipuan. Sebelum ini, kita telah lancarkan gerakan auto 21 yang mana pengisiannya supaya cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya.