Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Ruang udara Ukraine sepi

$
0
0

Pesawat penumpang Malaysia terhempas di UkrainePesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine


SHAH ALAM - Insiden nahas yang menimpa sebuah lagi pesawat Boeing 777-200 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), penerbangan MH17 kini telah mengubah corak laluan udara hampir kesemua syarikat penerbangan.

Hasil tinjauan dan analisis yang dijalankan oleh Sinar Harian Online mendapati rata-rata pesawat kini mengelak dari memasuki ruang udara Ukraine demi mengelakkan menjadi mangsa korban seperti MH17.

Kini syarikat penerbangan masing-masing lebih rela mengubah laluan perjalanan pesawat masing-masing dengan menggunakan laluan udara yang lebih jauh melalui Romania, Hungary dan Slovakia untuk sampai ke Belarus.

Pada  pemerhatian Sinar Harian Online mendapati, terdapat perbezaan ketara terhadap jumlah pesawat yang menggunakan ruang udara antara Ukraine dan negeri sekitarnya.

Berdasarkan imej yang diperoleh daripada aplikasi Plane Finder, pada tarikh 16 Julai iaitu sehari sebelum kemalangan tersebut, laluan udara Ukraine diisi dengan kehadiran pesawat dari pelbagai kapal terbang dari bermacam agensi dan syarikat penerbangan.

Namun berbeza pula ceritanya dengan imej yang diperoleh melalui aplikasi yang sama pada hari ini.

Hasil perkiraan mendapati, hampir kesemua pesawat kini mengelakkan dari menggunakan ruang udara Ukraine, dipercayai kerana ingin mengelakkan daripada mengulangi insiden tragedi yang menimpa MH17.

Imej tersebut menunjukkan ruang udara Ukraine hari ini sepi tanpa sebarang pesawat komersial manakala laluan udara di negeri di sekelilingnya dipenuhi pesawat lain, sekaligus menjadikan trafik di udara semakin sesak.

Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berpendapat, pertambahan pesawat di ruang udara di laluan sekitar luar Ukraine tidak akan menjadi masalah kepada mana-mana pesawat dan menara kawalan udara kerana setiap penerbangan dikawal dan dibantu dengan seliaan pegawai komunikasi udara dari setiap lapangan terbang.

“Ada beza antara penerbangan kapal terbang dan kereta, kereta dikawal oleh pemandunya sendiri secara visual manakala kapal terbang pula dikawal oleh pegawai yang memantau ruang udara dengan bantuan radar dan radio.

“Kalau kita tengok melalui radar, laluan udara sangat sesak, juruterbang perlu berhubung dan melaporkan kepada pusat kawalan udara, pusat kawalan udara inilah yang menyelaras dan memaklumkan kepada pesawat yang ada disekeliling mengenai kehadiran pesawat itu untuk mengelakkan berlakunya pertembungan dengan pesawat yang lain,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pesawat juga sudah mempunyai peraturan dan prosedur untuk diterbangkan pada ketinggian yang ditetapkan mengikut arah berbeza.

“Jika sesebuah pesawat itu terbang dari Timur ke Barat, ia sudah ditetapkan untuk terbang pada ketinggian tertentu sama ada mengikut angka genap atau ganjil dan begitu juga sebaliknya.

“Pesawat tersebut akan terbang pada ketinggian yang berbeza. Walaupun banyak pesawat yang melalui ruang udara tersebut, oleh kerana pengawalan dari menara kawalan udara yang mempunyai ketepatan kedudukan pesawat tersebut, risiko untuk berlakunya perlanggaran, pertembungan dan persilangan dengan pesawat lain menjadi rendah,” katanya lagi.

Mengulas mengenai nahas MH17 yang mengorbankan sehingga 298 penumpang termasuk bayi dan anak kapalnya, beliau berkata, sebenarnya pada hari kejadian, masih ada dua pesawat yang menggunakan laluan udara yang sama dengan MH17.

"Kapal terbang Singapore Airlines yang menggunakan laluan itu 25 kilometer jauhnya dari MH17, iaitu kurang dua minit daripada altitud kedudukan MH17 dilaporkan berada.

“Pesawat-pesawat ini tidak akan bertembung kerana rekod dan data penerbangan serta kedudukan pesawat itu dilihat oleh menara kawalan sesebuah negara,” jelasnya.

Dalam pada itu bekas Pengarah Akademi Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Remli Mohamad pula berkata, masalah pertembungan dan perlanggaran kapal terbang tidak akan timbul selagi juruterbang mematuhi arahan yang diberikan oleh menara kawalan trafik.

“Di udara, semuanya dikawal oleh pengawal dan pegawai trafik udara. Juruterbang pelu menerbangkan pesawat mengikut arahan yang diberikan oleh mereka. Semua jadual, ketinggian altitud penerbangan perlu diatur mengikut sistem.

“Di udara, terdapat perbezaan 1000 kaki antara satu pesawat dan pesawat yang lain. Ruang udara yang luas masih boleh menampung banyak pesawat. Malah dengan keupayaan radar trafik udara, pengawal udara dapat melihat dan memantau laluan sesebuah pesawat,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Tambahnya lagi, koordinasi yang ditetapkan oleh pangawal trafik udara sudah diatur dan dimantapkan sejak awal, jadi tidak mungkin masalah seperti kesesakan di landasan pesawat di lapangan terbang atau perlanggaran di atas udara berlaku.

“Kawasan di landasan lapangan terbang telah dikawalkan oleh unit dan sektor masing-masing. Koordinasi yang telah ditetapkan sudah mantap. Juruterbang hanya perlu mengikut arahan pengawal trafik udara sahaja,” katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722