Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketika pemergian Teoh Beng Hock menjelang genap lima tahun dan pengetahuan berhubung isu hak asasi manusia di Malaysia sedikit meningkat, masih banyak yang perlu diperbaiki demi menegakkan demokrasi di negara ini.
Peguam Hak Asasi Syahredzan Johan berkata, ugutan dan penderaan fizikal oleh pihak berkuasa untuk menakutkan rakyat dilihat tidak lagi berkesan, malah ramai diantara mereka semakin sedar dan mahu berpartisipasi untuk menegakkan kebenaran.
Namun menurut Syahredzan, isu kebebasan bersuara dan ektremisme agama nampaknya bertambah buruk terutamanya selepas Umno-BN hilang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen sejak tahun 2008.
“Selepas lima tahun semakin ramai rakyat Malaysia yang berani keluar dalam pelbagai siri himpunan dan jelas menunjukkan kesedaran kita semakin meningkat dan sanggup bersuara menyatakan haknya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Malangnya dari sudut lain iaitu kes kematian dalam tahanan meningkat. Setakat tahun ini sahaja terdapat sepuluh kes sedemikian dilaporkan,” katanya dalam forum ‘Lima Tahun Selepas Pemergian Teoh Beng Hock: Hak Asasi Manusia dan Keadilan Politik’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), semalam.
Syahredzan juga membidas tindakan berat sebelah polis dan pendakwa menggunakan Akta Hasutan untuk menutup mulut penentang dasar kerajaan, sebalinya mendiamkan diri terhadap kumpulan pelampau ekstrim kaum dan agama.
“Amat menghairankan apabila tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap organisasi seperti Perkasa, Isma dan beberapa pimpinan Umno yang mengeluarkan ucapan menghasut serta penuh kebencian.
“Apa yang mereka lakukan itu tidak pula dianggap sebagai menghasut,” ujarnya.
Sementara itu, merujuk kepada misteri pemergian Beng Hock, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kesal dengan sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memungkiri janji akan melakukan segala yang mungkin untuk mencari punca kematian.
“Kenyataan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini bahawa ketiga-tiga pegawai terlibat seperti dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah dibersihkan namanya turut memeranjatkan dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata Kit Siang
Sementara itu, peguam mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Sing Deo pula menyatakan individu yang menyebabkan kematian semasa siasatan sepatutnya tidak dilepaskan begitu saja dan dikenakan tindakan sewajarnya.
“Suspek jenayah itu harus bertanggungjawab dan keluarga mangsa perlu diberikan akses penuh kepada maklumat untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.
“Pegawai penyiasat wajar diberi kuasa untuk menjalankan siasatan bebas dengan bantuan kakitangan sokongan seperti pakar patologi forensik.