Bekas naib presiden IBB didenda RM30,000 
Bekas Naib Presiden Iskandar Investment Bhd (IIB) Mohamad Hanafiah Abu Mansor, 48, melarikan diri apabila mengetahui pihak media cuba merakamkan gambarnya selepas keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama


JOHOR BAHRU - Bekas naib presiden Iskandar Investment Bhd (IIB) Mohamad Hanafiah Abu Mansor didenda RM30,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan RM25,000, empat tahun lepas.
  
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas Mohamad Hanafiah, 48, menukar pengakuannya kepada bersalah. Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh memegang jawatan naib presiden IIB dan ketua pegawai eksekutif Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd.  
  
Bagi pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa menerima rasuah RM25,000 daripada Mohd Zulkifli Arif, di kawasan letak kereta belakang IIB, Danga Bay, Jalan Skudai di sini antara pukul 3 dan 4 petang, awal Januari 2010.
  
Mohamad Hanafiah yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di JP Logistics Sdn Bhd, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
  
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan tertuduh telah insaf dan ia merupakan kesalahan pertama.

Azrul berkata anak guamnya kini digantung kerja dan menanggung isteri dan empat anak, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Fazlin Hamdan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal.
  
Pada 24 Oktober lepas, tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah sama mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan projek bernilai RM2.7 juta dan melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
  
Bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama