Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman


KUALA LUMPUR – Kotak hitam MH17 adalah kepunyaan Malaysia berdasarkan peruntukan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga seorang pakar undang-undang.

Menurutnya, akta itu juga mematuhi panduan undang-undang penerbangan awam antarabangsa yang meletakkannya sebagai hak milik Malaysia.

“Setiap negara dalam dunia ini telah menjadi ahli kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) termasuk Malaysia, malah Ukraine juga adalah anggota badan itu dan mereka tertakluk kepada peraturan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dari segi perundangan, apabila kapal terbang terhempas di dalam negara sendiri, ia dikawal oleh undang-undang negara itu yang juga berasaskan aturan antarabangsa.

“Dalam situasi sekarang, pesawat MH17 terhempas di Ukraine, dan negara itu bertanggungjawab bagi memulakan siasatan punca nahas itu.

“Jika terhempas di negara lain, Malaysia tiada kuasa lagi untuk menyiasat. Pihak yang berkuasa menyiasat adalah negara di mana pesawat berkenaan terhempas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Abdul Aziz, walaupun Malaysia mempunyai hak ke atas kotak hitam itu, kerjasama siasatan dengan negara luar khasnya dari segi kepakaran boleh dilakukan.

Katanya, dalam konteks ini Malaysia juga boleh melantik kepakaran luar termasuk penglibatan ICAO bagi menyiasat punca insiden.

“Dalam hal ini, MAS terkecuali kerana mereka sebagai pihak yang berkepentingan. Pesawat itu juga kepunyaan MAS. Apa yang boleh dilakukan adalah melantik Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mewakili Malaysia dalam penyiasatan itu,” katanya.

Abdul Aziz ialah antara individu yang turut membantu menggubal Akta Penerbangan Awam 1974 dan Peraturan Penerbangan Awam 1996.

Mengulas dakwaan kotak hitam pesawat MH17 yang dikatakan berada di Moscow, Rusia, Abdul Aziz berkata, negara lain tidak mempunyai hak ke atas siasatan itu melainkan kerajaan Ukraine.

“Ini adalah soal hak, bukan soal kepakaran. Melainkan kerajaan Ukraine melantik pihak lain untuk turut sama berkongsi kepakaran penyiasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menggesa campur tangan antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengawal lokasi insiden itu yang kini dikawal oleh puak pemisah.

Katanya, Malaysia boleh guna sistem antarabangsa bagi mendesak penyiasatan rapi daripada PBB untuk bawa pihak bertanggungjawab ke atas insiden ini dibicara ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.