PERDANA Menteri Australia, Tony Abbott mengingatkan waris penumpang warganegara itu, mereka mungkin terpaksa menunggu berminggu-minggu sebelum mayat ahli keluarga mereka yang terlibat nahas MH17 boleh dibawa pulang.
Memetik Sydney Morning Herald, Abbott berkata, walaupun usaha membawa keluar mayat sedang dijalankan namun ia mungkin mengambil masa.
"Bagaimanapun saya mesti mengingatkan ini mungkin mengambil masa berminggu-minggu dan bukannya beberapa hari akan datang," ujarnya.
Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada Khamis lepas.
Operasi membawa keluar mangsa yang terkorban menjadi sukar apabila lokasi nahas dikawal oleh kumpulan pemisah pro-Rusia.
Menurut Malaysia Airlines, 27 daripada 298 penumpang yang berada dalam pesawat malang itu ialah warganegara Australia.
Abbott pada sidang media sama mendesak Rusia memberikan kerjasama dalam membantu siasatan kes ini dan mengingatkan negara itu agar tidak cuci tangan.