Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

IATA: Tak mungkin MAS ambil risiko demi berjimat

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menafikan kemungkinan bahawa ada syarikat penerbangan yang sanggup mengambil risiko terhadap keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawatnya semata-mata kerana ingin menjimatkan minyak.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA Tony Tyler berkata syarikat penerbangan terbabit bergantung kepada kerajaan serta pihak berkuasa kawalan trafik udara untuk menasihati ruang udara mana yang boleh dilalui dan membuat perancangan berdasarkan limitasi berkenaan.

"Pada ketika ini, apa yang penting ialah keselamatan merupakan perkara paling utama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pesawat malang milik Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 menggunakan laluan merentasi Ukraine yang sedang bergolak kerana laluan itu diisytiharkan selamat dan diluluskan oleh badan-badan penerbangan antarabangsa.

Liow berkata MAS telahpun menggunakan laluan itu banyak kali selain 15 syarikat penerbangan di Asia Pasifik dan Eropah.

"Kami tidak akan menggunakan laluan itu, kecuali jika ada notis saat akhir untuk mengubah laluan berkenaan tetapi...tidak ada sebarang notis," katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel.

Sementara itu, Tyler berkata situasi ini serupa dengan memandu kereta.

"Jika sesuatu jalan itu dibuka, anda anggap ia selamat. Jika jalan itu ditutup, anda akan mencari laluan alternatif.

"Pesawat awam bukan sasaran militari. Perkara ini dipersetujui dalam Konvensyen Chicago dan apa yang berlaku terhadap MH17 adalah satu tragedi yang meragut 298 nyawa serta tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana ruang udara," katanya.

MAS mengesahkan menerima makluman dari ATC Ukraine bahawa ia terputus hubungan dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT) 30 kilometer dari Tamak, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.

Pesawat jenis Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) Khamis dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia), Jumaat.- Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722