SHAH ALAM - Pemuda Pas Pusat akan menghantar sukarelawan bagi misi kemanusiaan ke Gaza yang dijadualkan berlepas selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri atau awal Ogos ini.
Pengerusi Lajnah Antarabangsanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata misi kemanusiaan itu akan menghantar pasukan perubatan terdiri daripada doktor dan pembantu perubatan bagi membantu penduduk Isreal yang cedera di Semenanjung Gaza.
"Misi itu yang membawa peralatan seperti ubat-ubatan, makanan, pakaian dan kewangan itu akan diketuai Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat bersama beberapa orang Exco Pemuda Pas yang lain.
"Misi ini juga sebagai melahirkan rasa simpati dan kebersamaan rakyat Malaysia terhadap umat Islam Gaza yang dizalimi oleh rejim Israel," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Mengulas lanjut, sebanyak RM500,000 kutipan sumbangan disasarkan menerusi "road show" Pemuda Pas Pusat ke negeri-negeri bagi mengumpul dana sebelum diserahkan kepada Suhaizan untuk dibawa ke Gaza nanti.
"Semoga ia juga membuka mata pemimpin negara umat Islam agar bangkit menentang kekejaman rejim melalui pelbagai tindakan agresif sebagai menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam di negara ini memperbanyakkan berdoa kepada ALLAH SWT supaya perjuangan umat Islam Gaza diberikan kemenangan kelak.
"Pemuda Pas Pusat juga memohon doa umat Islam agar misi ini berjaya dengan keseluruhan pasukan ini selamat sampai dan pulang ke negara selepas tamat misi ini kelak," katanya lagi.