JOHOR BAHRU - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan pendirian Malaysia untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin kepada presidennya Mahmoud Abbas hari ini.
Pendirian itu disampaikan oleh Perdana Menteri menerusi panggilan telefon kepada Mahmoud pada jam 5.55 petang tadi.
Dalam perbualan selama 10 minit itu, Najib memberitahu Mahmoud bahawa kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin sehingga perjuangan mereka berjaya.
"Dalam perbualan itu, saya nyatakan Malaysia merupakan antara negara yang kuat menyokong perjuangan Palestin," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Najib berkata beliau turut menyatakan pendirian tegas Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.
"Dalam apa jua keadaan, Malaysia berdiri teguh menyokong perjuangan Palestin sehingga perjuangan mereka selesai," katanya.
Najib berkata sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin itu tidak hanya datang daripada seluruh umat Islam tetapi juga daripada pelbagai bangsa dan agama di negara ini.
"Walaupun ada dalam kalangan pemimpin pembangkang yang kata bahawa kita patut mempertahankan hak Israel untuk mempertahankan diri tapi bagi kerajaan pimpinan Barisan Nasional, kita tetap mengutamakan hak dan kedaulatan rakyat Palestin," katanya.
Beliau turut menyifatkan serangan Israel sebagai respons tidak seimbang kerana bentuk serangan yang disasarkan kepada mangsa secara khusus dengan menggunakan senjata canggih. - Bernama