Oleh Mohd Ayob Abd Razid |
Gaza bergolak lagi. Serangan rejim Zionis Israel sejak enam hari lalu membunuh lebih 160 orang, terutamanya orang awam daripada kanak-kanak dan wanita. Walaupun serangan itu disasarkan kepada pejuang Hamas, orang awam mangsa utama. Ia turut memusnahkan berpuluh-puluh rumah kediaman Palestin di Gaza. Walaupun ramai terkorban dalam keadaan mengerikan dan menyayat hati, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terus mengeluarkan kenyataan biadabnya akan terus membuat serangan.
Kebiadaban dan kesombongan Zionis Israel ini mengingatkan kita peristiwa serangan tentera udara rejim Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008. Begitu juga serangan yang dilancarkan pada 2012. Serangan tidak berperikemanusiaan itu mengorbankan ramai orang awam Palestin yang tidak berdosa. Serangan terbabit membuktikan hasrat Israel menguasai seluruh wilayah Palestin tidak pernah luntur. Bagi Israel, halangan terbesar yang dihadapinya ialah pejuang Hamas dan Briged al-Qassam, kumpulan yang berpengaruh di Gaza.
Kebanyakan negara Arab tidak berani melawan Israel. AS seolah-olah mewakili Israel dalam hubungannya dengan pemimpin Arab supaya dapat melunakkan mereka terhadap Israel. Sejak Jimmy Carter menjadi Presiden AS pada 977, Israel berjaya membendung kebangkitan negara Arab. Mana-mana pemimpin Arab yang cuba menjadi ‘hero’ kepada rakyat Palestin dan memusuhi Israel akan menjadi mangsa AS seperti yang berlaku ke atas Saddam Hussein di Iraq.
Pelbagai bentuk kekejaman
Sejak menguasai bumi Palestin pada 1948, Israel melaksanakan doktrin ‘Jungle Law’ dan dasar pre-emptive yang menghalalkan serangan tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang antarabangsa. Sejak dulu lagi pelbagai bentuk kekejaman di luar batas kemanusiaan seperti Tragedi Sabra dan Shatila pada 16 September 1982 dan serangan ke atas rakyat Palestin serta beberapa peperangan Arab-Israel mengorbankan banyak nyawa umat Islam di Asia Barat.
Pada hemat penulis, Gaza yang kononnya dalam rancangan untuk dijadikan negara Palestin yang merdeka tidak akan menjadi kenyataan kerana hasrat sebenar rejim Zionis ialah menguasai keseluruhan bumi Palestin. Justeru, keselamatan penduduk Islam di Gaza tidak akan terjamin kerana Zionis Israel akan terus mengganyang wilayah terbabit.
Segala bentuk pelan damai dan perjanjian perdamaian hanya tipu daya rejim Zionis. Apa yang diinginkan oleh Zionis itu ialah merealisasikan cita-citanya menguasai seluruh wilayah Palestin termasuk Gaza. Namun, pejuang Islam di bumi Palestin akan terus mempertahankan wilayah terbabit.
Hampir semua serangan Israel selama ini tidak mampu diambil sebarang tindakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Israel mahu menunjukkan kepada dunia rejim itu kebal kerana hampir semua badan utama dunia sama ada dalam bidang perekonomian, kewangan, keselamatan dan ketenteraan, pendidikan dan sosial dikuasai mereka.
Pengaruh pelobi Yahudi
Pelobi Yahudi mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam setiap pelan damai Israel-Palestin. Ia berakar umbi sejak 1948 lagi. Ketika persidangan Zionis di Hotel Bilt More, New York pada tahun 1942, AS menyatakan sokongannya kepada cadangan pembentukan negara Zionis Israel di Palestin. Justeru, kerana pengaruh yang begitu kuat inilah maka keselamatannya dilindungi oleh PBB serta kuasa Eropah yang diketuai AS.
Kebanyakan negara Arab tidak berani melawan Israel. AS seolah-olah mewakili Israel dalam hubungannya dengan pemimpin Arab supaya dapat melunakkan mereka terhadap Israel. Sejak Jimmy Carter menjadi Presiden AS pada tahun 1977, Israel berjaya membendung kebangkitan negara Arab. Mana-mana pemimpin Arab yang cuba menjadi ‘hero’ kepada rakyat Palestine dan memusuhi Israel akan menjadi mangsa AS seperti yang berlaku ke atas Saddam Hussein di Iraq.
Hamas dan pejuang Islam di bumi Palestin terus dilabelkan sebagai militan dan pengganas bertujuan untuk memastikan dunia menolak perjuangan Hamas. Ketika Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin pada Januari 2006, Israel dan AS cuba menyingkirkan Hamas melalui pelbagai usaha termasuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Gaza.
Malah, perjanjian Mekah pada Disember 2006 yang termeterai untuk membentuk kerajaan campuran juga tidak disenangi mereka sehingga berjaya mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah antara Hamas dan Fatah di Gaza pada Jun 2007. Mahmoud Abbas yang membentuk kerajaan Tebing Barat ketika itu mengisytihar Gaza sebagai wilayah pengganas. Sikap Mahmoud itu disokong AS dan Eropah yang mencurah berjuta dolar untuk membantunya.
Kesimpulan, Israel akan terus ancam keselamatan rakyat Palestin yang tidak pernah diberi sebarang jaminan keselamatan oleh PBB dan AS. Negara pengganas itu terus bebas menyerang dan membunuh rakyat Palestin melalui doktrin ‘Jungle Law’ yang diamalkan sejak sekian lama. – bharian.com.my,
* Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia