Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Bayar pampasan kepada bekas tahanan ISA

$
0
0
ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk membayar pampasan kepada semua mangsa dan keluarga tahanan ISA ke atas penahanan mereka yang tidak dibuktikan sama ada bersalah atau tidak ke mahkamah.

Isteri kepada bekas tahanan ISA, Aliza Jaffar, menegaskan penahanan suaminya, Saari Sungib pada 2001 selama dua tahun di bawah akta itu tidak pernah dibuktikan kesalahan atas dakwaan yang dikenakan.

Justeru, katanya adalah wajar bekas tahanan dan keluarga dibayar pampasan atas segala kesengsaraan dan keperitan yang dihadapi mangsa dan keluarga sepanjang penahanan tersebut.

Apatah lagi, tegas beliau suaminya telah dianugerahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pampasan sebanyak RM1 juta yang perlu dibayar oleh kerajan Malaysia melalui harbeas corpus yang difailkan.

"Sampai sekarang kami masih menunggu pampasan tersebut dibayar kerajaan. Memang pihak kerajaan memfailkan rayuan untuk mengetepikan perintah pembayaran pampasan tersebut, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan berkaitan," tegas beliau.

Saari, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, pada 2002 bersama empat tahanan lain bertindak memfailkan harbeas corpus dan kemudiannya disahkan mahkamah bahawa penahanan kelima mereka adalah bersifat 'mala fide'.

Kemudiannya, pada 2003, mereka memfailkan saman sivil terhadap kerajaan kerana bertindak menahan mereka dan dianugerahkan agar dibayar pampasan RM1 juta seorang, namun kerajaan memfailkan rayuan.

Jelas Aliza yang juga aktivis Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (PSK GMI), semua tahanan ISA dan keluarga melalui satu pengalaman yang begitu mengerikan dan menyakitkan sepanjang penahanan.

"Ada yang ditahan hampir lapan tahun, malah yang ditahan dalam tempoh 60 hari sekalipun sudah pasti memberi kesan terhadap tahanan dan keluarga. Apatah lagi jika yang ditahan itu merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab menyalurkan sumber kewangan terhadap keluarga," jelas beliau.

Tambah Aliza lagi, ia belum lagi keperitan dan trauma yang terpaksa dilalui oleh keluarga tahanan sepanjang penahanan ahli keluarga mereka, lebih-lebih lagi apabila diugut untuk tidak bertemu peguam, bergerak aktif dengan mana-mana NGO, mahupun diganggu kehadiran anggota cawangan khas (SB) di kediaman mereka tanpa mengira masa.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan untuk tidak lupa membayar pampasan kepada semua tahanan ISA yang selama ini ditahan tanpa sebarang perbicaraan di mahkamah.

"Pampasan ini memang wajar dibayar atas segala kehilangan sumber pendapatan seperti pekerjaan asal, peluang pekerjaan yang samar-samar selepas dibebaskan, serta trauma yang dihadapi tahanan dan keluarga," tegas Aliza.

Ahad lalu, kerajaan membebaskan tahanan akhir ISA seramai enam orang, termasuk dua warga Indonesia dan Filipina, biarpun ISA sudah dimansuh secara rasmi pada 22 Jun 2012  selepas terbentuknya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 2013.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722