Konstabel Zakia Aleip


SHAH ALAM - Anggota polis marin, Konstabel Zakia Aleip, 26 yang diculik oleh sekumpulan lelaki Filipina bersenjata sempat menghubungi isterinya malam tadi untuk memberitahu bahawa dia masih hidup.

Mengesahkan kenyataan tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehingga ke malam tadi, Zakia dilaporkan masih hidup dan pihaknya kini menunggu panggilan seterusnya dari pegawai polis itu.

“Dia menghubungi isterinya, Syarifah Erna Benson dan mengatakan dia masih hidup dan selamat.

"Namun Zakia mengesahkan bahawa dia kini ditahan oleh kumpulan terbabit,” katanya seperti yang dipetik melalui sebuah portal, hari ini.

Ditanya mengenai jangkaan lokasi penahanan Zakia, Khalid berkata pihaknya tidak dapat memastikan ke mana Zakia dibawa oleh kumpulan tersebut.

Sabtu lalu, negara sekali lagi digemparkan dengan satu lagi insiden pencerobohan di Semporna, Sabah yang menyebabkan kematian seorang anggota polis marin, Koperal Ab Rajah, 32 manakala seorang lagi kini disahkan telah diculik selepas diserang hendap oleh sekumpulan penceroboh.

Insiden kali ini melibatkan pencerobohan lapan lelaki bersenjata yang memecah sempadan dan menceroboh ke sebuah resort di Pulau Mabul.

Pihak polis kini sedang berusaha untuk menyiasat insiden tersebut dan beberapa individu telah dikenal pasti terlibat dalam serangan di Pulau Mabul itu.

Dalam perkembangan lain, jenazah Koperal Ab Rajah yang dibawa dari Hospital Tawau kini telah selamat dikebumikan.

Khalid menerusi laman Twitter mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis marin yang terkorban dalam insiden tersebut.

“Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya.