GAZA: Penelitian pasukan doktor terhadap mayat rakyat Palestin yang syahid dalam serangan udara tentera zionis didapati ditembak dengan senjata yang diharamkan pihak antarabangsa.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin Ashraf al-Qodra berkata, Israel telah menggunakan senjata pemusnah yang mengakibatkan kebanyakan anggota badan mangsa terbakar dan ada yang hancur sepenuhnya.
"Israel menggunakan senjata yang diharamkan antarabangsa dalam dua peperangan sebelumnya ke atas Gaza.
"Senjata-senjata yang sama sedang digunakan sekarang," kata al-Qodra.
Beliau menggesa organisasi hak asasi antarabangsa untuk mengheret Israel ke mahkamah jenayah antarabangsa atas pelanggaran yang berterusan, terhadap rakyat Palestin.
Sementara itu, beberapa saksi memberitahu, tentera isreal menggunakan peluru berpandu yang memusnahkan badan mangsa dan juga menyebabkan anggota badan mangsa terpotong seperti kepingan.
Ada juga beberapa aktivis mendakwa, keadaan badan mangsa yang bertukar menjadi arang menunjukkan seolah-olah senjata kimia turut digunakan.
Israel telah melancarkan serangan udara terhadap Gaza tidak henti-henti sejak Selasa, di mana 53 rakyat Palestin terbunuh setakat ini.
Lebih kejam, mereka turut mensasarkan orang awan termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.