Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta agar OIC tidak lagi bersikap retorik dengan hanya mengkritik, namum tiada tindakan susulan berbentuk teknikal dalam menangani isu tersebut.
"Sudah sampai masanya OIC sebuah pertubuhan Islam bertindak tegas terhadap apa yang berlaku di Gaza sekarang. Oic perlu berani tampil menentang kekejaman tersebut, memberi bantuan kepada penduduk Gaza.
"OIC perlu ketepikan sebarang kebimbangan terhadap kuasa-kuasa besar dunia, bukan hanya berani kritik tetapi perlu berani ke hadapan dalam menunjukkan kecaman," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, OIC perlu memainkan peranan mereka di sebalik kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani konfilk di Gaza.
"Kita gesa agar negara-negara yang mengganggotai OIC segera berbincang bentuk tindakan tegas yang ingin dilakukan.
"Kekejaman Israel tidak boleh dimaafkan lagi, OIC perlu beri bantuan dan perlindungan kepada rakyat Palestin serta memberi tekanan yang berat terhadap Israel," sambung beliau.
Operasi serangan udara berterusan Israel terhadap pejuang Gaza kini mengorbankan 72 orang manakala ratusan lagi cedera dan ia adalah yang terburuk sejak 2012.