Sebahagian ahli kariah hadir pada ceramah ‘Kepentingan Dakwah Kepada Masyarakat Majmuk dan Ancaman Murtad’.
MARANG - Cinta salah satu sebab utama orang Islam murtad, kata Naib Pengerusi 2 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor, Muhammad Fitri Abdullah ketika menyampaikan ceramah di Masjid Titian Baru.
Menurutnya, selain terperangkap dengan cinta yang membawa kepada perkahwinan, antara faktor utama lain menyebabkan orang Islam ingin menukar agama, sebab lain ialah pengaruh filem, kemiskinan, lemah pegangan agama serta terpengaruh dengan material.
“Faktor kejahilan menambahkan lagi masalah menukar agama ini kerana orang Islam tidak tahu untuk ajak orang bukan Islam masuk ke dalam Islam, sebaliknya mereka (pula) yang ditarik masuk ke dalam agama lain,” katanya ketika mengulas tajuk ceramah Kepentingan Dakwah Kepada Masyarakat Majmuk dan Ancaman Murtad anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai program itu Muhammad Fitri berkata, ia diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat agar melihat dakwah sebagai satu tanggungjawab bersama yang mesti dijalankan secara berterusan.
Ini kerana, katanya, manusia akan dipandang mulia apabila memilih Islam sebagai cara hidup kerana Islam itu agama fitrah, dan fitrah itu adalah perkara yang disukai manusia di muka bumi ini.
“Saya ambil inisiatif dan saya belajar agama asal saya dahulu sebab mahu jadi pandai dalam agama saya. Apabila masuk Islam, saya teruskan belajar Islam dengan tekun dan bersungguh-sungguh,” katanya.
Setelah memeluk Islam, pemegang ijazah ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini bergelar ustaz itu, aktif menjelajah ke seluruh tanah air bagi menyampaikan dakwah dan ceramah ancaman murtad kepada masyarakat.