Kanvas dipasang di lokasi runtuhan Jalan Mahameru 
 Susur jalan ditutup kepada lalu lintas semasa kerja pemantauan kesan runtuhan bukit di Jalan Mahameru di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Kerja pemasangan kain kanvas di kawasan runtuhan tebing di Jalan Mahameru di sini giat dilakukan hari ini bagi mengelak resapan air hujan ke dalam tanah.
  
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, ia bagi mengelak berlaku runtuhan seterusnya.
  
"Bomba masih memantau keadaan tebing itu dari semasa ke semasa dan kerja pembuangan tanah sedang dilakukan kontraktor," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
  
Beliau berkata tiada pergerakan tanah dikesan buat masa ini.
  
"Apa yang membimbangkan kami ialah kerja pembuangan longgokan tanah, jika tidak diselesaikan secepat mungkin, kemungkinan besar petang nanti akan hujan dan berlaku runtuhan lagi.
  
"Jika petang nanti hujan dan berlaku runtuhan kali kedua, bomba akan mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menutup terus Jalan Mahameru kepada lalu lintas," katanya.
  
Samsol menasihati pengguna kenderaan yang melalui Jalan Mahameru agar berwaspada.
  
Dua daripada tiga lorong di Jalan Mahameru dari arah Parlimen ke Pusat Dagangan Dunia Putra yang ditutup semalam ekoran runtuhan tebing, dibuka kepada lalu lintas pagi ini.
  
Kejadian kira-kira 5.20 petang semalam susulan hujan lebat menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 10km. - Bernama