MALAYIAKINI
Umno Pulau Pinang mendakwa DAP, melalui kenyataan pemimpin tertingginya, menjadi api dalam sekam terhadap perpaduan nasional melalui kenyataan mereka akhir-akhir ini.
Timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Seri Reezal Merican berkata, siri kenyataan dua pemimpin pentingnya – Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang – penuh muslihat demi mendapat markah politik.
“Saya ingin menasihatkan DAP agar tidak bersandiwara dalam isu yang sepenting dan semustahak ini,” katanya yang juga anggota Parlimen Kepala Batas itu.
“Mereka wajar menunjukkan warna sebenar politik mereka – dan tidak terus bermain dengan ayat-ayat retorik dan bertindak sebagai batu api.”
Selepas serbuan dan rampasan lebih 300 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban di Petaling Jaya sebelum ini, ramai pemimpin DAP tampil mempersoalkan langkah itu.
Terbaru, Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menyifatkan pihak berkuasa bersikap dwistandard terhadap pengarang The Herald Lawrence Andrew berhubung isu kalimah Allah berbanding kenyataan kontroversi mufti Perak sebelum ini.
Dalam kenyataan hari ini, Reezal menegaskan, penguatkuasaan Jabatan Agam Islam (JAIS) di Selangor sebenarnya dilaksana berasas jalur undang-undang.
Beliau juga mahu Guan Eng memperjelaskan persoalan sama ada DAP sengaja mahu menidakkan kedaulatan undang-undang negara dan adakah mereka merancang menolak agama Islam sebagai agama rasmi.