Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Bibit Perbezaan Najib Dan Muhyiddin Mula Ketara

$
0
0

shahbudindotcom



Sekembalinya daripada percutian hujung tahun dan negara diselebungi dengan pelbagai masalah serta kekalutan, Perdana Menteri, Najib Razak seperti tidak menyembunyikan kekecewaan sepanjang hanya tidak sampai dua minggu ketiadaannya. Dalam kemunculan sulungnya di tahun 2014 ini iaitu berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri semalam, antara perkara yang disentuh Najib dalam ucapannya ialah meminta semua pihak bertenang dan mengikut saluran undang-undang dalam isu berkaitan kalimah Allah yang kembali hangat ketika ini.

Isu kedua yang disentuh Najib ialah berkenaan subsidi dan dengan tegas beliau menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi akan tetap diteruskan sebagaimana yang dirancang oleh kerajaan. Ini bermakna selepas pemotongan subsidi beberapa bulan lalu yang menyaksikan kenaikan harga minyak dan petrol, di masa mendatang ini akan berlaku lagi beberapa kenaikan akibat pemotongan subsidi yang akan dilakukan oleh kerajaan.

Ketika isu kalimah Allah mula meletus dan UMNO Selangor berhasrat mengadakan demonstrasi di depan gereja bagi menyatakan bantahan, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menyatakan sokongan terhadap langkah itu dengan menyatakan ia merupakan hak UMNO Selangor untuk berbuat demikian.

Demo di depan gereja itu, walaubagaimanapun akhirnya dibatalkan setelah Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar tidak membenarkannya, sebaliknya telah diadakan di padang Kelab Sultan Sultan, Kelang yang turut dihadiri beberapa pemimpin UMNO negeri itu.

Tetapi sokongan Muhyiddin itu telah diketahui umum dan ia berlaku ketika ketiadaan Najib di dalam negara.

Ketika ketidaan Najib juga di mana setelah berlakunya demonstrasi membantah kenaikan harga barang di Dataran Merdeka pada malam sambutan sambutan tahun baru, Muhyiddin turut berkata bahawa kerajaan akan melihat semula dasar rasionalisasi subsidi secara holistik bagi memastikan ia benar-benar membantu golongan sasaran iaitu rakyat miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Dalam kedua-dua perkara yang disentuh oleh Muhyiddin, ia jelas ada perbezaan dengan pendekatan Najib. Ketika Muhyiddin menyokong demontrasi di depan gereja, Najib mahu semua pihak bertenang. Ketika Muhyiddin membuat kenyataan lunak bahawa rasionalisasi subsidi akan dilihat dan dikaji semula, Najib tetap bertegas dengan berkata "tidak" mengenainya.

Selain memperkenalkan dasar 1Malaysia, Najib juga memperlihatkan dirinya lebih toleransi dengan penganut Kristian. Beliau bukan saja mengunjungi Pope dan menjemput paderi Kristian beramah-mesra dengannya, malah menginisiatifkan penyelesaian 10 Perkara yang antara lainnya membenarkan penggunaan nama Allah dan pengedaran Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin pula, dengan melihat perkembangan semasa yang menunjukkan semakin membesarnya kemarahan golongan konservatif Islam berhubung penggunaan kalimah Allah ini, cuba menonjolkan dirinya bersama-sama dengan perjuangan mereka itu. Sokongannya terhadap demontrasi di gereja (walaupun tidak menjadi) tetapi telah menunjukkan Muhyiddin lebih pro Islam berbanding Najib.

Begitu juga dengan kenyataannya untuk melihat semula dasar rasionalisasi subsidi, selari dengan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, Muhyiddin juga cuba menunjukkan beliau pro rakyat.

Namun, Najib nampaknya tidak menunggu lama untuk memangkah kenyataan Muhyiddin itu dan memberitahu bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri dan nakhoda dalam negara ini, walaupun dalam suasana semakin banyak masalah dan penyakit yang timbul.

Najib, menurut ramai pemerhati, dengan meminta semua pihak bertenang berhubung isu kalimah Allah dan kemudian menyatakan subsidi tidak mungkin akan dikekalkan, walaupun menujukannya kepada semua rakyat tetapi seperti dalam masa yang sama sedang menyindir timbalannya itu.

Lebih-lebih lagi, kelihatan wajah Muhyiddin yang tidak ceria dan macam mencuka ketika berdiri di belakang Najib di perhimpunan itu. Di dalam akhbar dan beberapa portal berita, wajah Muhyiddin yang masam itu amat jelas kelihatan, malah mereka yang menonton berita di televisyen juga menyatakan perkara yang sama.

Bibit perbezaan antara Najib dan Muhyiddin ini bukan saja mula dirasai, malah sudah mula menjadi bualan di kalangan rakyat dan di dalam UMNO sendiri. Dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang, Najib bukan saja semakin kurang popular, malah keyakinan terhadap kepimpinannya sedang berada di tahap paling rendah sekali.

Berlakunya terus perbezaan antara pemimpin nombor satu dengan nombor dua memang sukar dielakkan, tidak terkecuali antara Najib dengan Muhyiddin tetapi kebijaksanaandan kecekapan akan menentukan bagaimana ianya akan berakhir nanti.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722