DETIK DAILY |
Tindak-tanduk parti sekutu utama Umno dalam BN yang cuba memburukkan imej PAS di kalangan masyarakat bukan Islam nampaknya mendapat momentum baru dengan perkembangan semasa yang berlaku di Timur Tengah.
Setelah kejadian 11 September dan kemunculan gerakan Al-Qaeda, usaha MCA menerusi akhbar miliknya, The Star untuk mempalitkan imej PAS dengan gerakan militan berlangsung hingga sekarang.
Terbaru Pengerusi Publisiti MCA, Dato’ Chai Kim Sen meminta pihak polis agar membuat pemeriksaan ke atas semua ahli PAS berikutan terdapat bekas pemimpinnya menyertai pergerakan jihad di Syria.
Pemimpin MCA itu juga menggesa agar rakyat Malaysia yang terlibat dalam sebarang aktiviti militan dan organisasi pengganas dilucutkan kerakyatannya.
Malah Kim Sen mahu pihak polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) “memeriksa setiap ahli PAS” untuk melihat sama ada pengaruh ahli PAS yang menyertai kumpulan penentang di Syria telah menyerap ke dalam parti meskipun individu terbabit telah disingkir oleh PAS.
Kim Sen dilapor mengulas laporan The Star berkenaan bekas pemimpin Dewan Ulama PAS, Ustaz Lotfi Ariffin yang dikenal pasti menyertai peperangan sivil di Syria.
Di masa yang sama, Ketua Pengarang The Star menulis panjang lebar pembabitan ahli PAS dalam gerakan jihad yang bermula sejak dekad 80-an tatkala Afghanistan ditakluk Soviet Union.
Dalam tulisan bertajuk “Of Facebook, selfies, jihad and PAS”, Wong Chun Wai cuba mengaitkan PAS dengan pelbagai gerakan militan Islam di negara ini dan di peringkat antarabangsa.
Penyokong tegar MCA dan BN itu juga mempersoalkan agenda konsisten PAS terhadap hudud dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam tanpa menyatakan bahawa agenda tersebut juga sebenarnya dikongsi sebahagian rakan MCA dalam Umno yang menjadi parti teras BN.
Beliau turut mendakwa bahawa “ramai ahli PAS akhirnya menyertai kumpulan radikal di kawasan bergolak seperti Pakistan, Afghanistan dan sekarang Syria.”
Sikap konsisten MCA melalui The Star untuk mengaitkan PAS dengan kumpulan militan Islam sebenarnya bukan bersandarkan agenda ‘keselamatan negara.’
Ia sebenarnya lebih kepada u saha parti chauvinis Cina itu untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat Cina yang kini telah beralih arah. Dikalahkan dengan keadaan yang sungguh memalukan pada pilihan umum 2013 (yang pertama kali menyaksikan calon MCA-BN kehilangan deposit), sasaran sebenar MCA selain PAS adalah DAP.
Mempalitkan imej militan kepada PAS diharap dapat menjauhkan sokongan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam kepada PAS sekali gus menjejaskan sokongan rakyat terhadap DAP – rival MCA dalam politik.
Sehubungan itu, kita pastinya menyokong amaran keras beberapa pemimpin PAS Pusat kepada MCA agar tidak sekali-kali bermain dengan api agama bagi menakutkan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina terhadap PAS.
Apatah lagi, PAS adalah sebuah parti politik yang sah dan telah terlibat secara aman di dalam proses demokrasi dan pilihan raya di negara ini sejak 1955.
Tindakan MCA menggesa anggota PAS disiasat adalah berniat jahat dan tidak bertanggungjawab serta boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.
Jika pembabitan beberapa ahli PAS dengan kumpulan penentang di Syria dan Iraq boleh dijadikan sebab untuk menyiasat semua ahli PAS, ternyata anggota MCA paling layak untuk disiasat ekoran pembabitan pemimpin parti itu dengan kumpulan kongsi gelap, sindiket perjudian haram dan aktiviti pelacuran.
PAS sejak dari awal penubuhannya telah mengambil pendekatan politik secara aman di negara ini dan telah banyak membantu negara bagi menjamin keamanan dan keselamatan.
Pendirian sederhana PAS dalam isu-isu membabitkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini diakui ramai meski pun mendapat kecaman golongan ekstremis kaum dan agama.
Malahan tiada sebarang rekod yang membuktikan PAS terlibat dalam mana-mana kegiatan yang bertentangan dengan perlembagaan dan keselamatan negara.