Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

DAP gesa kerajaan asingkan cukai perjudian, jaga sensitiviti umat Islam

$
0
0
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Anthony Loke menggesa pengasingan cukai perjudian yang memberi manfaat penganut bukan Islam dan menjaga sensitiviti rakyat Islam.  
Anthony Loke menggesa pengasingan cukai perjudian yang memberi manfaat penganut bukan Islam dan menjaga sensitiviti rakyat Islam.  




DAP hari ini menggesa Putrajaya mengasingkan hasil kutipan cukai pertaruhan kepada sebuah akaun khas bagi melindungi kepentingan umat Islam serta memberi manfaat kepada penganut bukan Islam.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, berkata dengan pengasingan dana itu, kelak akan dapat membantu pembangunan bukan Islam seperti sekolah vernakular dan badan kebudayaan sosial.

"Pakatan Rakyat pernah mencadangkan di Parlimen supaya hasil cukai perjudian ini – yang juga dikenali sebagai "sin tax"– diasingkan dalam akaun hasil khas bagi menjaga sensitiviti rakyat beragama Islam.

"Hasil cukai perjudian ini sepatutnya disalurkan untuk masyarakat bukan Islam, seperti sekolah vernakular dan badan kebudayaan sosial. Pada ketika ini tiada ketelusan bagaimana cukai perjudian disalurkan dan dibelanjakan," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang diterima pada Oktober tahun lalu mendedahkan kutipan cukai pertaruhan sejak 2008 hingga 2012 berjumlah RM6.29 bilion.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Seremban itu turut mendedahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional telah meluluskan 22 permit perjudian cabutan khas kepada tiga syarikat nombor ramalan iaitu Magnum, Damacai dan Sports Toto.

"Ia melibatkan 22 hari Selasa sepanjang tahun 2014 bermakna terdapat pertambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia pada tahun ini sahaja.

"Ini tidak termasuk hari cabutan tetap pada Rabu, Sabtu dan Ahad setiap minggu. Kalau dijumlahkan sepanjang 2014, jumlah perjudian cabutan nombor ekor ialah 178 hari," katanya.

Loke mempersoalkan pertambahan permit itu sebagai salah satu langkah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menambahkan hasil cukai negara.

Katanya, tahun demi tahun permit cabutan khas ini ditambah walaupun telah dibantah berkali-kali oleh beberapa ahli parlimen dari Pakatan Rakyat.

"Saya tetap membantah pertambahan permit cabutan khas sebanyak 23 hari pada tahun ini kerana tiga kali cabutan setiap minggu pada ketika ini sudah amat keterlaluan dan sepatutnya dikurangkan.

"Adakah kerajaan BN sudah ketandusan idea untuk memperkukuhkan ekonomi negara sehingga menggalakkan rakyat lebih banyak berjudi supaya dapat mengutip lebih banyak cukai perjudian?" katanya.

Beliau berkata tiada rasional kerajaan meluluskan lebih banyak permit perjudian kerana jumlah kutipan cukai cabutan khas bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 berjumlah RM70.8 juta.

Katanya, berdasarkan jumlah itu, anggaran cukai pertaruhan pada tahun ini akan mencecah RM150 juta dan ia tidak harus dilihat sebagai peningkatan hasil sebaliknya lebih banyak wang rakyat akan mengalir ke kancah perjudian.

"Masalah sosial seperti peningkatan kes hutang Ah Long dan kesan buruknya amat besar kepada masyarakat kita. Secara puratanya, kerajaan mengutip RM1.26 bilion setiap tahun daripada perjudian nombor ramalan.

"Najib perlu membuat pindaan terhadap tatacara kewangan kerajaan dengan mengasingkan semua hasil cukai perjudian dam satu akaun khas dan menyalurkan hasil tersebut untuk perbelanjaan tertentu sahaja," katanya.

Loke berkata sebahagian negara luar telah mengasingkan hasil cukai perjudian malah terdapat negara yang menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengurus cukai perjudian.

Katanya, dengan pelaksanaan itu, ia seakan serampang dua mata iaitu memelihara kepentingan umat Islam serta menyelesaikan masalah perjudian haram dalam negara.

"Lebih banyak cabutan khas, menggalakkan lebih banyak perjudian. Hari bekerja tidak perlu ada cabutan. Biar Sabtu dan Ahad sahaja. Tidak perlu pada hari bekerja," katanya. –

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722