KUALA LUMPUR: PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melaksanakan segera agenda Rekonsiliasi Nasional seperti yang dicadangannya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inilah masa sebenar dan terbaik bagi mewujudkan Rekonsiliasi Nasional antara Kerajaan BN dan Pakatan Rakyat khususnya bagi menangani kemelut ekonomi dan pertentangan agama yang sedang melanda negara.
Menurutnya, dengan keadaan yang berlaku sekarang ini, nampaknya BN seolah-olah tidak mampu lagi menanganinya.
"Saya menyambut usul yang dibawa oleh perdana menteri tentang agenda rekonsiliasi selepas pilihan raya umum yang lalu.
"Kalaulah kerajaan dalam kemelut ini sudah tidak boleh menangani isu ekonomi dan pertentangan agama maka sudah sampai masanya rekonsiliasi dilaksanakan tapi bukan kerajaaan perpaduan yang kita mahu," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Beliau berkata, BN dan Pakatan Rakyat harus mengambil langkah-langkah tertentu bagi menangani krisis ini.
"Kedua-dua pihak mengadakan langkah-langkah untuk menangani dua krisis ini yang pastinya melibatkan reform dan langkah penambahbaikan institusi kerajaan," katanya.
Ujarnya lagi, antara cadangan merealisasikan agenda itu ialah membentuk kaukus di parlimen secara dwipartisan dan sidang parlimen khas untuk membincangkan agenda tersebut.