Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Syabas: Bekalan terputus, tekanan rendah

$
0
0

Gambar Hiasan 
Gambar Hiasan


SHAH ALAM - Dalam pada rakyat diminta tidak bimbang dengan bekalan air sepanjang mendepan musim El Nino, namun lain pula yang berlaku dan dialami sesetengah penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kira-kira 758,976 kediaman di lima wilayah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam dan Hulu Langat terputus bekalan air dan tekanan rendah berikutan pengeluaran air terawat dari loji-loji rawatan air yang berkaitan tidak dapat menampung permintaan.

Gangguan bekalan air ini tidak dapat dielakkan disebabkan ketiadaan sumber bekalan air alternatif disalurkan ke kawasan terjejas, demikian jelas Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred.

Menurutnya, secara keseluruhan kapasiti bekalan air terawat sedia ada di  Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mencukupi dengan paras rizab bekalan air kurang dari satu peratus atau negatif apabila berlaku permintaan berlebihan.

"Syabas jangkakan pemulihan bekalan air mengambil masa agak lama dan tidak dapat ditentukan. Ia bergantung kepada bila loji-loji rawatan air yang terlibat dapat mencapai pengeluaran maksimum dan juga jika terdapat sumber air terawat tambahan disediakan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, beberapa kawasan sekitar Wilayah Hulu Langat dan sebahagian Kuala Lumpur terputus bekalan air dan tekanan rendah sejak 17 Jun lalu disebabkan pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih diurus Konsortium ABASS Sdn Bhd (Abass) dan LRA Sungai Langat yang diurus Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) tidak dapat menampung permintaan air yang tinggi di kawasan tersebut.

Beberapa kawasan sekitar Wilayah Klang/Shah Alam juga terputus bekalan air dan tekanan rendah tidak berjadual pada 24 Jun lalu disebabkan penutupan sementara LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1) diurus Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

"Kes ini disebabkan gangguan bekalan elektrik dari jam 4 pagi hingga 6 pagi hari yang sama di loji rawatan air itu. Ini yang menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat daripada loji rawatan itu.

"Walaupun LRA SSP1 beroperasi semula, bekalan air ke kawasan yang terlibat masih belum pulih sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Priscilla berkata, beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling pula terputus bekalan air dan tekanan rendah mulai 25 Jun lalu,  disebabkan pengeluaran air terawat dari LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP 3)  dikurangkan  Splash berikutan berlakunya penurunan paras aliran air mentah Sungai Selangor.

"Pengurangan pengeluaran air terawat dari LRA SSP1 dan LRA SSP3 mengakibatkan penurunan paras kolam utama yang menerima bekalan air dari kedua-dua loji rawatan air tersebut dan mengakibatkan gangguan bekalan air serta tekanan rendah.

"Bagi membantu mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan yang masih terjejas, Syabas terus menggerakkan lori tangki air dan tangki statik untuk pengagihan bekalan air kecemasan.

"Keutamaan bantuan bekalan air kecemasan ini diberikan kepada pengguna kritikal seperti hospital kerajaan/swasta, pusat dialisis dan rumah kebajikan serta situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian atau kenduri," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722