Stesen bas terbiar: MDYP akan bertindak 
Kawasan stesen bas yang kosong setelah pengusaha bas enggan menggunakannya untuk mengambil dan menurunkan penumpang terutamanya bas ekspres.


BATU PAHAT – Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) akan mengambil beberapa tindakan untuk memastikan Stesen Bas Taman Kota, Yong Peng yang kosong selama ini kembali meriah seperti awal pembukaannya beberapa tahun lalu.

Stesen bas berkenaan kini sepi setelah beberapa kedai dan gerai makan yang beroperasi di situ ditutup, selain tiada bas yang mengambil dan menurunkan penumpang.

Yang Dipertuanya, Kamalludin Jamal berkata, dua masalah utama stesen bas berkenaan adalah ruang niaganya yang kosong dan tiada syarikat bas terutamanya bas ekspres yang menggunakan stesen itu.

Katanya, bagi mengatasi masalah ruang niaga yang kosong, MDYP akan menyemak semula senarai penyewanya dan hanya akan memperbaharui lesen mereka yang benar-benar ingin berniaga.

“Mulai tahun ini, MDYP tidak lagi akan bertolak ansur dengan penyewa yang tidak meniaga...jika mereka tidak membukanya lesen akan ditarik balik.

“Pihak MDYP hanya akan menyewakan ruang niaga ini kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga dan tidak menutup rezeki orang lain,” katanya.

Menurut Kamalludin lagi, begitu juga dengan perkhidmatan bas, pihaknya akan memastikan bas awam akan menggunakan stesen berkenaan untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

Katanya, MDYP akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengang-kutan Awam Darat (SPAD) untuk membuat pemantauan dan mengenakan tindakan undang-undang kepada pengusaha bas yang mengambil serta menurunkan penum-pang bukan di tempat sepatutnya.

“Buat masa ini hanya dua syarikat bas henti-henti sahaja yang menggunakan stesen ini, kami juga akan mempelawa syarikat bas tertentu untuk beroperasi ke destinasi berhampiran dengan Yong Peng seperti Parit Sulong dan sebagainya.

“Bagi bas ekspres pula, kami lebih menggalakkan mereka membuka kaunter di stesen ini, dan tindakan undang-undang akan dikenakan jika mereka mengambil dan menurunkan penumpang di tepi jalan besar.

“Begitu juga dengan jualan tiket...kami akan membuat pemantauan dan juga akan mengambil tindakan undang-undang yang diperuntukkan bersama dengan SPAD kepada mereka yang ingkar,” katanya.