Penduduk membantu mengusung rumah milik keluarga Wan Badrol yang hanyut 15 meter ketika banjir awal Disember tahun lalu.
KUANTAN – Akibat banjir 3 Disember lalu, sebuah rumah di Perkampungan Bukit Rangin di sini hanyut sejauh 15 meter dan tersadai di tanah jiran sebelahnya.
Wan Badrol Shah, 25, berkata, kejadian banjir penghujung tahun lepas merupakan yang terburuk pernah berlaku di kampung tersebut yang menyebabkan kebayakan penduduk tinggal sehelai sepinggang.
“Akibat arus deras, rumah milik keluarga saya hanyut, dan kami masih bersyukur kerana ia tidak dihanyutkan jauh.
“Sekurang-kurangnya ada harapan untuk kami membaiki dan ‘meletakkan’ rumah ini ke tapak asalnya,” katanya.
Sehubungan itu, atas inisiatif Unit Amal Pas Kawasan Paya Besar, gotong-royong telah diadakan untuk mengusung rumah tersebut ke tempat asalnya.
Yang Dipertua Pas Kawasan Paya Besar, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, seramai 100 sukarelawan daripada Unit Amal, ahli Pas, AJK masjid dan penduduk kampung datang bergotong-royong mengusung rumah itu.
Menurutnya, prihatin dengan nasib mangsa banjir di Bukit Rangin di sini, Unit Amal Pas Paya Besar telah melancarkan Ops Banjir seminggu selepas banjir sehingga ke hari ini.
“Kami membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira parti. Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan, kami sedia membantu.
“Alhamdulillah, kami juga dapat bantuan daripada pihak luar untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan ini,” katanya.
Mohd Tarmizi berkata, kesan banjir Disember lalu merupakan dugaan besar, namun berharap agar penduduk tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan mendatang.
“Ini ujian ALLAH kepada kita, tetapi dari sudut positif, kita dapat mengeratkan hubungan serta menjalin kerjasama antara satu sama lain," katanya.