Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

'Kg Chubadak Tambahan mahu serah memo pada Agong, PM'

$
0
0
MALAYSIAKINI



 


Peguam Kampung Chubadak Tambahan Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib masih bertegas mahu merobohkan rumah penduduk kampung itu.

"Memorandum ini cara pertama, keduanya kita akan hantar memorandum kepada menteri (Wilayah Persekutuan), Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong sekiranya tuntutan kami tidak didengar Datuk Bandar.

"Memorandum ini dihantar sebagai tanda kemarahan penduduk terhadap kenyataan datuk bandar yang bertegas akan melakukan perobohan walaupun adanya rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi," katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Zamri menegaskan memorandum hari ini juga menuntut supaya Ahmad Phesal menghentikan aktiviti perobohan sehingga tamatnya tempoh injunksi pada 26 Jun nanti.

Selain itu, menuntut supaya datuk bandar berunding dengan penduduk kampung sebelum melakukan sebarang tindakan ke atas rumah penduduk kampung Melayu itu.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Pegawai Pejabat Datuk Bandar Mohd Shukri Rohim dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancang Bandar Norjannah Appendi di Dataran DBKL kira-kira jam 10:35 pagi tadi.

Turut hadir memberi sokongan kepada kira-kira 80 penduduk kampung, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, ahli parlimen Batu Tian Chua, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan dan Pengerusi ANAK Mazlan Aliman.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Tian yang juga naib presiden PKR mengesyaki terdapat "muslihat" antara pihak DBKL dan pemaju memandangkan belum jelas sebab kawasan itu mahu dimajukan.

“Sampai hari ini pihak DBKL tidak jelaskan, apa kegunaan tanah kampung itu. Sekejap kata nak buat perumahan, sekejap kata nak buat tanah perkuburan.

'Rakyat tak bernilai'

“Belum jelas pembangunan yang nak dibuat sudah usir penduduk. Saya percaya ini ada muslihat. Ini satu muslihat kerajaan tidak telus dalam perkara ini,” katanya.

Manakala Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat pula membidas kerajaan BN yang didakwanya lebih mementingkan beruang panda dari China berbanding keperluan penduduk Kg Chubadak Tambahan.

“Rakyat tak bernilai kepada Barisan Nasional dan Umno, Panda lebih bernilai. Panda dapat berapa? RM25 juta, penduduk dapat berapa? RM7,000 sahaja.

“Mana lagi banyak dapat?” katanya yang disambut dengan sorakan, “Panda” oleh penduduk yang mula berhimpun sejak jam 9.30 pagi.

Sebelum perhimpunan bermula, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad bertemu dengan Zamri memohon supaya pihak penganjur memastikan perhimpunan berjalan lancar.

Semua penyokong memegang sepanduk, menuntut supaya datuk bandar menghormati perintah mahkamah dan menghentikan perobohan rumah mereka.

Antara tertulis “Datuk Bandar DBKL jangan angkuh dan biadap, hormati perintah mahkamah”, “We are Malaysian but Not Panda” dan “Mempertahankan, membina dan memperkasa kampung warisan”.

Seramai 12 anggota polis dan pihak penguatkuasa DBKL mengawal keselamatan di depan bangunan DBKL.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722