|
Allahyarham hadir program parti buat terakhir malam tadi. |
Allahyraham dikhabarkan meninggal dunia jam 4:30 pagi tadi akibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Ajil - Bukit Besi. Beliau meninggal seorang balu Zaitun Salleh dan lapan orang anak.
Betapa tidak dini tadi Solat Subuh saya terganggu dengan deringan telefon sebanyak dua kali. Dalam hati berdebar-debar sebaik mendengarnya. Berasa lain sekali irama dering itu dan seakan mahu segera diangkatnya.
Sebaik selesai "menyutubuhi" Tuhan saya mencapai telefon dan menghubungi balik si pemanggil. Rupa adik ipar cikgu Zarir Yaacob dari Pasir Puteh. "Abang tahu dah, Ustaz bakar Chik dah meninggal?" Begitulah beritahunya. Saya seakan tidak percaya. Lantas menghubungi Adun Chukai, Hanafiah bagi mengesahkan maklumat itu. Harapan saya semoga berita disampaikan adik ipar itu tidak benar atau khilaf semat-mata.
Harapan saya meleset, ternyata apa diberi tahu itu benar. "Iya Ustaz Bakar excident di lebuh raya Ajil - Bukit Besi, jenazah di hospital," Hanafiah mengesahkan. Saya terdiam dan sebak menyelubungi seluruh diri. Dunia seakan terdiam beberapa jurus. Inalilahiwanailahirajun. Dia sendiri sedang bersiap untuk ke hospital.
Saya terasa amat terkilan dengan pemergian Allahyarham. Kerana sudah agak lama saya tidak berjumpa dengannya atau berhubung menerusi telefon. Kali terakhir berjumpa dan minum dengannya ketika muktamar Pas di Shah Alam tahun lalu. Kalau tidak salah ingatan saya, ada dua tiga kali saya menelefon selepas itu, tetapi tidak ada reaksi. Tidak seperti selalu dia akan menghubungi balik dalam masa tidak sampai beberapa jam. Saya tidak menganggap apa-apa melainkan terfikir beliau kalut dengan perjuangan dan alpa untuk membalas panggilan saya.
Semalam juga Allahyarham berjumpa Abdul Hadi. |
Ustaz Abu Bakar Chik merupakan seorang Exco Terengganu dan bekas ketua Dewan Pemuda Pas, adalah antara tokoh Terengganu yang agak saya rapat dan baik dengan saya. Pernah saya catatkan dalam satu posting, beliaulah satu-satu tokoh Pas dari Terengganu yang tidak "berwatak orang" Terengganu dengan saya. Maksudnya yang melayan saya, ajak makan dan minum kalau saya sampai di Terengganu atau terjumpa di mana-mana majlis baik parti atau sosial lain.
Semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2010 beliau mengundang khas saya ke Terengganu sebelum beberapa hari penamaan calon. Dia minta saya bekerjasama dengannya membuat tinjauan dan kajian awal mengenai peluang Pas pada pilihan raya berkenaan. Beliau berharapakan saya atas alasan saya membuat analisa yang bebas dan tidak cenderong kepada Pas serta ada konteks dua belah pihak.
Semalaman saya bersamanya, pusing dan jelajah seluruh bandar Kuala Terengganu berjumpa dengan orang-orang tertentu dan juga masuk ke tempat-tempat publik untuk menerima pandangan orang ramai. Beliau bertindak memberi taklimat kepada saya dari pihak Pas. Ketika pusing inilah beliau membawa saya makan sata, nasi minyak atau apa-apa makanan Terengganu yang istimewa. Tidak pernah saya mendapat layanan seperti beliau dari mana-mana tokoh atau pemimpin Terengganu walaupun sebahagian besar saya mengenali sejak tahun 80-an lagi.
Bukan soal Allahyarham seorang yang "perai" saya suka mendekatinya atau mudah menerima undangannya. Cara beliau bekerja untuk memperkuatkan parti tanpa mengira upah dan penat lelah juga menarik perhatian dan menyebabkan saya senang berkawan dengannya. Atas kerajianan dan keulitan dalam berjuang saya menggelarkan beliau sebagai Ibnu Batutah di dalam Pas, sebab Allahyarham seorang pengembaraan di dalam parti; menjelajah ke seluruh negara dalam memenuhi undangan ataupun mengisi program yang diatur. Penglibatannya bukan sahaja di Terengganu tetapi di seluruh negara bahkan ke luar negara juga. Inilah kehebatan Abu Bakar Chik dan ia mengakgumkan saya.
Pernah satu hari dia hendak makan pagi dengan saya. Ketika itu dia berada di Melaka. Saya tidak percaya kalau beliau dapat sampai ke Kuala Lumpur dalam masa dua jam. "Jam 7:30 enta tunggu ana di Danau Kota, sekarang ni ana masih di Melaka." Beliau menghubungi sebaik dia selesai solat berjemaah Subuh di Markaz Pas di Bukit Katil.
Selepas makan pagi dengan saya, beliau bertolak pula ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu program di sana. Ketika itu beliau adalah Pengarah Starategi dan Kajian Pas Pusat, di mana kerjanya adalah mengenal segala masalah Pas, mencari maklumat, mengumpul data serta membuat kajian dan analisa untuk memperkuatkan Pas. Sebaik selesai program di Pulau Pinang beliau akan "melayang" pula ke Terengganu menerusi Grik - Kota Bharu - Kuala Terengganu.
Begitulah kerajinan dan kehebatan Ustaz Abu Bakar Chik dalam perjuangan, tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. Baginya, mungkin kalau hidup sehariannya tidak diisi dengan program dia akan merasa bersalah dan tidak sihat badan. Kerja dan dakwah baginya adalah suplimen harian yang wajib diambil. Sebenarnya juga kelebihan itulah menyebabkan beliau dikenali dan disayangi oleh ahli jemaah sebagai seorang pemimpin yang penuh iltizam dengan parti.
Saya tidak pasti bila pertama kali saya mulai berjabat salam dengannya. Apa yang saya ingat ialah pertama kali ketika beliau datang berceramah di kampung saya di Gual Periok, Pasir Mas pada tahun 1978. Malam itulah saya bersalaman dengannya, walaupun mengenalinya sudah bertahun sebelum itu. Dia sendiri masih belum mengenali saya, kerana saya masih dalam persekolahan. Kami akrab apabila saya mula menjadi wartawan.
Budi kecil saya kepadanya ialah, saya pernah mengirimkan ubat batu karang kepadanya. Allahyarham setahu saya seorang pengidap batu karang yang serius. Kebetulan dikampung kami ada sejenis herba yang boleh menghancurkan batu karang. Ketika itu Yang di Pertua Pas, Gual Periok, Yaacob Awang Besar yang kemudian menjadi bapak mertua saya, meminta saya mengirimkan herba berkenaan kepada Allahyarham menerusi teksi di Kota Bharu. Alhamdulilah herba berkenaan menurutnya berjaya mengurangkan kesakitan akibat batu karang.
Semasa menjadi Exco Terengganu, Allhyarham pernah berkunjung ke rumah saya di Wangsa Melawati. Ketika itu beliau sedang berhadapan dengan sedikit masalah dalam porfolionya. Beliau datang bersama penguam juga kawan saya pada suatu malam. Beliau meminta pandangan kami untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapinya. Seingat saya, beliaulah satu-satu rakan politik bertaraf pemimpin dari Terengganu yang pernah mengecap kelat dan pahitnya tea marhaen di rumah saya.
Dalam kaca mata saya perjuangan Allahyarham bukan sahaja dalam memartabatkan agama Islam dan masyarakatnya tetapi beliau juga seorang pejuang bahasa dan sastera. Semasa isu Pembelajaran Sains dan Matemetik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), beliau antara pemimpin politik yang berada di barisan hadapan. Semasa isu dibahas dan ditolak oleh seorang ahli parlimen Umno, kalau tidak silap Bung Mokhtar Radin, beliaulah orang yang menyerbu dan berdepan dengan ahli parlimen berkenaan, semasa sidang berhenti rehat mendesak agar ahli parlimen berkenaan menarik balik kenyataannya yang menghina kedudukan bahasa Melayu.
Banyak jasa, budi dan pengorbanan Allahyarham kalau hendak ditulis. Sesuai dengan penglibatannya dalam perjuangan, mungkin tidak cukup satu ream kertas A4 untuk menulisnya. Kehebatan dan keberanian beliau juga tidak perlu disebut lagi. Penahanan beliau dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuktikan keberanian dan ketidakpedulian Allahyarham kepada tekanan. Baginya akta, tangkapan dan penjara tidak pernah mengugat semangat juangnya malahan menjadi pendorong buat dirinya meneruskan perjuangan demi menegak kebenaran.
Pemergian Abu Bakar Chik menghadap khaliqnya pagi tadi, merupakan satu kegilangan besar kepada Pas Terengganu. Allahyarham bolehlah dianggap sebagai penyokong tiang seri utama Pas Terengganu yang kini dipangguli oleh Abdul Hadi Awang secara hakikinya. Kasih dan kekagumannya kepada Abdul Hadi begitu hebat sekali, tiada dua dan tiada tiga.
Dan apa juga menyebabkan saya senang dengan Allahyarham ialah apabila setiap kali saya menulis mengkritik Abdul Hadi, beliau akan menghubungi saya hanya untuk membela tokgurunya itu. Memberi maklumat tambahan serta menjelaskan akan fekah politik presiden parti itu.
Beliau marah apabila saya mengkritik Abdul Hadi, tetapi marahnya tidak pernah bergema ke luar, ia antara saya dengannya sahaja. Marah-marah sayang. Saya menerima marahnya itu sebagai maklumat atau fakta membetulkan hujah dan pandangan saya yang mungkin serong atau tidak kena (tepat) bagi tilikannya. Sepatah kata-kata kesalannya kepada saya dalam konteks kritikan saya kepada Tokguru Haji Hadi yang tetap saya ingat ialah; "enta Sayuti, konsisten mengkritik presiden."
Selepas berkata begitu beliau akan memeluk dan melagakan pipinya dengan pipi saya, kiri kanan kiri. Dan mulai hari 25 Syaaban 1435 bersamaan 23 Jun 2014 saya tidak akan dapat merasa kemesraan pelukannya lagi sambil berlaga pipi dengannya seperti sebelum ini. Ia menjadi kenangan dan persaksian antara kita. Duhai sang murabbi selamat berangkat ke liang peraduan dengan aman dan sejahteraan. Al Fatihah.