Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Mudahkah menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar?

$
0
0
Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 


[ULASAN]  Yang menjadi persoalan sekarang ialah, mudahkah hendak menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan seorang menteri besar baru di Selangor?

Barisan pimpinan PKR Selangor sudah berusaha melakukannya sejak tahun 2009 lagi tetapi gagal. Ketika itu, mereka tidak mendapat restu presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR.
 
Kini semua kerabat Pakatan Rakyat mula kenal siapa Khalid Ibrahim dan bagaimana beliau boleh menterbalikkan perjuangan Pakatan Rakyat untuk melaksanakan reformasi terhadap amalan politik dan pemerintahan di negara ini.

Maka yang menjadi persoalannya sekarang ialah bagaimana proses menggantikan Khalid ini hendak dilaksanakan? Adakah PR kini akan memberi sokongan penuh pada perancangan Langkah Kajang PKR?

Sebelum ini PAS ragu-ragu dengan skim ini. Malah PAS secara sulit dikatakan memberi sokongan pada Khalid supaya bertahan sebagai Menteri Besar dan akan terus menyokong beliau apabila ada ura-ura menyatakan Anwar Ibrahim akan menggantikannya.

Sayugia diingat bahawa PAS bukanlah teratur dan rukun sangat pemikirannya dalam bab membuat keputusan ini. Contohnya, ada empat Ahli Parlimennya mahu kuasa Majlis Agama Islam Selangor dilupuskan demi menjaga hubungan baik dengan orang bukan Islam.

Walhal pandangan ahli-ahli parlimen itu belum lagi dibincangkan di peringkat perhubungan PAS Selangor pun. Adalah dikhuatiri apabila dibawa isu mengganti menteri besar ini kelak, tiba-tiba ada pula pemimpin Dewan Harian PAS yang beranggapan Khalid masih berguna untuk perjuangan Pakatan Rakyat.

Dalam kemuncak debat Langkah Kajang tiga bulan lalu, ada pemimpin PAS yang sanggup menawarkan Khalid untuk meninggalkan PKR dan menyertai PAS. Jaminan diberi pada Khalid bahawa beliau akan tetap menjadi menteri besar jika PKR tidak mahu.

Khalid Ibrahim sendiri apabila diacah dengan kemungkinan diganti dengan menteri besar lain, bingkas mengingatkan bahawa rancangan untuk menggantikannya tidak mudah itu dilakukan.

Beliau mengingatkan bahawa pertama sekali keputusan menukar menteri besar adalah hak pakatan Rakyat – PAS, DAP dan PKR. Selepas itu, persembahan calon baru dibuat kepada Istana Selangor.
Jika ada perkenan, baru ia boleh dilaksanakan.

Malah beliau kemudian berikrar akan tidak mahu diberi tanggungjawab sebagai menteri besar untuk penggal ketiga. Cukuplah baginya untuk menyempurnakan tugas dua penggal sebagai menteri besar.
Adalah dikhuatiri ada pula yang akan “terbeli” dengan tawaran “merendah diri” untuk berkhidmat hanya dua penggal sahaja itu.

Bagaimanapun kini keadaan agak berbeza. Baik DAP mahupun PAS dan PKR mahu Khalid diganti. Namun apakah komitmen yang penuh sudah diperolehi daripada peringkat Majlis Presiden Pakatan Rakyat?

Tidakkah ada kemungkinan PAS dan DAP akhirnya mengungkitkan soal calon parti mana yang memiliki majoriti terbesar dalam Dewan Undangan Negeri Selangor patut  mengisi kerusi Menteri Besar?

DAP tentu tidak mahu membuat tuntutan kerana dekorum politik Selangor memerlukan seseorang menteri besar itu berketurunan Melayu dan beragama Islam; DAP tiada calon sedemikian!

Maka tinggallah PAS dengan pemikiran politik mahu mengambil atau tidak. Perlu diingat sekilas program Langkah Kajang diumumkan, PAS segera membentangkan pendirian ia akan membantu PKR setakat memenangi pilihanraya kecil DUN Kajang, tidak lebih dari itu.

Maknanya soal menteri besar ialah soal lain. Meskipun kali ini mungkin PAS boleh lunak dengan hujah atas semangat setiakawan, ia masih redha Selangor dipimpin oleh PKR, tetapi soalnya adakah PKR mempunyai calon yang sesuai?

Anwar Ibrahim sudah tidak layak kerana beliau bukan ADUN. Wan Azizah pula perlu mengurus PKR jika Anwar dipenjarakan rentetan isu liwat 2008nya.

Pemilihan PKR 2014, menyerlahkan sisi kurang meyakinkan perpaduan dalam parti itu.  Perbalahan di antara ahli dan pemimpin amat mendalam dan parah. Di sini ada persimpangan. Perlukah jasa dan rekod khidmat Khalid disemak semula?

Berikutan itu, tentu ada pandangan, mengapa tidak Pakatan Rakyat jangan membadai sampan politiknya dan terus mengekalkan Khalid? Cuma buatlah jawatankuasa atau panel untuk kawal selia keputusan-keputusan yang dibuat Khalid.


Jika ada orang yang boleh menjawab usul kompromi itu, tentulah beliau adalah Anwar Ibrahim. Beliau sendiri pernah menawarkan diri untuk memandu Khalid sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Beliau juga telah membentangkan pelan untuk ada orang perantaraan PKR dalam kerajaan negeri supaya Khalid melaksanakan dasar-dasar pemerintahan yang diperakui oleh parti. Beliau cadangkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Semua ini ditolak mentah-mentah oleh Khalid. Pengajaran daripada pengalaman pahit Anwar menimang-nimang “orang korporat” untuk mengukuhkan kerajaan PKR di Selangor seharusnya dijadikan iktibar – jangan berharap seorang saudagar tulen untuk memberi khidmat tanpa apa-apa pulangan.

Yang penting, Pakatan Rakyat tidak boleh teragak-agak kali ini. Rakyat memerhati bahawa Selangor negeri terkaya di Malaysia pernah bercatu air dan akan dibebani dengan projek lebuhraya bertol tambahan. Ia tidak boleh silap memilih pemimpin baru.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722