Perubahan kabinet diramalkan satu percaturan untuk naikkan Hishammuddin sebagai pengganti Perdana Menteri
PETALING JAYA: Bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata jangkaan pertukaran portfolio menteri Umno, hanyalah bertujuan memprojekkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai penganti Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak suatu hari nanti.
Menurutnya lagi, sebelum ini menteri Umno yang dijangka bertukar portfolio ialah Hishammuddin akan dinaikkan taraf sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikembalikan ke Kementerian Pertahanan manakala Najib akan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.
“Hal ini telah menimbulkan rasa tidak senang majoriti ahli Umno kerana Hishammuddin terbukti adalah watak yang lemah serta hampir ditolak oleh perwakilan Umno dalam pemilihan Naib-Presiden Umno tahun lalu.
“Memandangkan PM sendiri sarat dengan pelbagai kelemahan, ahli Umno bagaikan tidak sedia lagi menerima pemimpin yang juga lemah, malah kadangkala lebih lemah daripada PM,” katanya.
Memetik daripada blog shahbudindotcom.blogspot.com beliau berkata, apabila dispekulasikan pula Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yasin akan bercuti panjang dan jawatannya akan dipangku oleh Hishammuddin, tentulah lebih gempar ahli Umno dengan berita ini.
“Jika mahu dijadikan Menteri Kewangan sahaja sudah ramai yang membantah, apatah lagi jika terus dinaikkan sebagai TPM.
“PM memang akan merombak kabinetnya bagi memenuhi janji dan membawa pembaharuan. Beliau mungkin akan memasukkan wakil MCA dan Gerakan dalam kabinet,” jelasnya.
Tambah beliau, ketika ini Muhyiddin dilaporkan memang menghadapi beberapa masalah.
“Antara masalah yang dihadapi ialah isterinya Norainee Abdul Rahman yang sedang sakit dan tidak berapa sihat sekembalinya daripada percutian luar negara minggu lalu. Muhyiddin juga turut sengsara dengan apa yang berlaku dalam Umno dan kerajaan sekarang ini.
“ Muhyiddin akan terus kekal dengan jawatannya sekarang sehingga pilihan raya umum akan datang, sementara dalam masa yang sama PM akan memikirkan cara yang paling sesuai untuk menonjolkan Hishammuddin sebagai bakal penggantinya,” ujarnya.
Jelasnya lagi, ini bermakna Muhyiddin akan memperlahankan aktivitinya dengan alasan perlu menemani atau meluangkan masa bersama isterinya dan ini akan menjadi hujah terbaik bagi maksud tersebut.
“Pengurangan aktiviti itu juga mungkin akan disusuli dengan cuti yang perlu diambil sekali-sekala jika keadaan kesihatan isterinya tidak menunjukkan banyak perubahan,” katanya.