KUALA LUMPUR - Pas hari ini menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menyelesaikan segera kekeliruan berhubung penggunaan kalimah ALLAH yang kembali diperdebatkan.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Majlis Fatwa perlu memanggil satu mesyuarat untuk menyatakan pendirian mengenai perkara itu.
Menurutnya, penggunaan enakmen agama Islam dan keputusan perbincangan Kabinet mengenai perkara itu telah mengelirukan semua pihak.
"Majlis Fatwa kena buat penetapan, nyatakan pendirian mengenai penggunaan kalimah ALLAH ini.
"Majlis Fatwa kena panggil segera dan berunding bagi mengelakkan kekeliruan terus berlaku kepada rakyat yang beragama Islam, bukan Islam, Pas dan Umno, semua keliru.
"Undang-undang atau penyelesaian ini mesti ada satu betul dan satu tak betul, sebab al-Quran yang kita guna hanya satu, tak ada Selangor guna al-Quran lain, Putrajaya guna al-Quran lain," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas, di sini, hari ini.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa sebelum ini, serbuan yang dilakukan Jais terhadap Pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) adalah mengikut undang-undang.
Mohamad Adzim juga turut menyatakan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Bukan Islam) telah diguna pakai di Selangor sejak 1998, bukannya baru sekarang malah telah dimasukkan dalam perlembagaan.
Dalam pada itu, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, keputusan Kabinet yang menyenaraikan 10 asas dalam isu penggunaan kalimah ALLAH termasuk membenarkan penggunaannya oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak sejak PRU Sarawak dan PRU13 lalu, telah dilakukan setelah mendapat pandangan agamawan.
Mahfuz juga berkata masyarakat perlu mengetahui status sebenar mengenai kalimah ALLAH sekali gus Majlis Fatwa perlu menyatakan keputusan tersebut.
"Saya minta supaya Majlis Fatwa buat ketetapan yang selari dengan kehendak agama, adakah Jais yang bertepatan dengan Islam atau pun keputusan Kabinet yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang Melayu yang juga Islam dan mempunyai menteri agama Islam, keperluan ini perlu ditangani.
"Ini kita lihat di Sabah dan Sarawak, orang bukan Islam boleh guna kalimah ALLAH, mari di Semenanjung kamu juga orang Islam tak benarkan penggunaan kalimah ALLAH, jadi persepsi itu orang bukan Islam kepada Islam tidak baik.
"Sekarang ini orang nak tahu yang mana satu pendirian yang selari dengan kehendak Islam," jelasnya.
Tambahnya, perkara tersebut perlu diputuskan segera oleh Majlis Fatwa kerana ia melibatkan agama dan hukum.