KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan khabar angin tidak berasas mengenai kesihatan mana-mana pemimpin.
Menurutnya, perkara tersebut perlu dihindari kerana ia boleh menimbulkan suasana tidak tenteram kepada seluruh masyarakat, selain boleh menimbulkan pelbagai fitnah.
“Tidak kira siapa sekalipun, Pas atau Umno, kita sama-sama doalah, jangan cuba eksploitasi semua perkara atau maklumat yang diterima demi kepentingan politik dan sebagainya.
"Sakit ini ujian ALLAH SWT, mungkin hari ini orang lain, esok lusa kena kita pula," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat, sesi pertama di Medan Ilmu, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar dan situasi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan kini ditempatkan di salah sebuah hospital, di sini.
Beliau berkata, pemimpin disegani itu hanya mengalami keuzuran dan tidak sebagaimana dilaporkan di dalam laman sosial Facebook, Twitter dan sebagainya.
Sementara itu, beliau turut diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pemimpin Pas yang mendesak enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dipinda bagi mengurangkan bidang kuasa badan tersebut terutama dalam menjaga kedaulatan Islam di negeri itu.
Mohd Amar berkata, beliau melihat pandangan tersebut sebagai pandangan peribadi pemimpin terbabit kerana Pas sendiri masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai hal yang berlaku di Selangor itu.
“Saya tidak boleh komen banyak sebab saya pun masih belum jelas tentang hal tersebut, cuma pada pandangan saya, setiap orang mesti menghormati bidang kuasa masing-masing, itu yang paling penting.
"Bidang kuasa itu ditentukan undang-undang dan peraturan, maka semua orang kena hormat, dan pihak berkuasa juga mesti menggunakan kuasa tersebut dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.