Roketkini.com
KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular.
Pandikar mengetahui hal ini dan oleh sebab itu beliau menyatakan dengan jelas bahawa tafsirannya adalah hanya untuk tujuan sidang Dewan Rakyat sahaja dan bukan menjadi kata putus.
Namun, menurut Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang penjelasan Speaker itu tidak akan menahan mana-mana pihak daripada memetik kata-katanya sebagai sumber berwibawa.
“Malah ia mungkin digunakan para menteri dalam mesyuarat parlimen di masa akan datang untuk menjustifikasikan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular,” ujar Ketua Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, Speaker tidak mempunyai kuasa untuk memberi tafsiran sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukan sekular mahupun sebuah negara Islam.
“Pandikar sepatutnya membuat keputusan sama ada untuk merujuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” tegas Kit Siang.
Jamil Khir dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, minggu lalu menyatakan bahawa Malaysia adalah bukanlah sebuah negara sekular kerana kedudukan istimewa agama Islam dalam kerangka Perlembagaan.
Walaupun Pandikar merujuk pelbagai sumber untuk memutuskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular, beliau gagal merujuk dokumen sejarah yang menjadi asas Perlembagaan terutamanya Laporan Suruhanjaya Reid 1957, Kertas Putih Cadangan-cadanganPerlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan juga Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962.
Dokumen-dokumen ini dengan jelas memperuntukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Wakil-wakil Malaya dalam Suruhanjaya Cobbold, Tun Ghazalie Shafie dan Tan Sri Wong Pow Nee kedua-duanya berpendapat bahawa Islam seharusnya menjadi agama Persekutuan tanpa menggugat kebebasan agama lain dalam sebuah negara sekular.
“Adakah Pandikar akan memberitahu Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein bahawa mereka silap dalam menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular?” soal Kit Siang.
Tunku, pada majlis sambutan hari lahirnya pada 8 Februari 1983 telah berkata bahawa negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai agama, maka Malaysia mesti terus menjadi sebuah negara sekular dengan agama Islam sebagai agama rasmi.
Tun Hussein Onn pula telah berkata pada 13 Februari 1983 bahawa, “Negara ini masih boleh berfungsi sebagai sebuah negara sekular dengan agama Islam sebagai agama rasmi.” – Roketkini.com