Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin yang menolak usul tuntutan peneroka Felda supaya lesen persendirian diberikan kepada mereka oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong berkata usul tersebut sepatutnya diterima kerana ia melibatkan hak dan kepentingan peneroka felda yang sehingga kini tidak terbela nasibnya.
“Pada saya, lesen persendirian wajar diberikan pada peneroka kerana mereka mengusahakan tanah sendiri dan mendapat pulangan sepatutnya untuk kemudahan kehidupan.
“Malangnya, mereka terpaksa menjual hasil milik sendiri kepada Felda dengan harga yang begitu rendah, ini tidak adil.
“Jika kerajaan mengatakan mereka merupakan sebuah kerajaan yang adil dan saksama, mengapa hak warga Felda berterusan diabaikan, mengapa tidak terima tuntutan peneroka?” katanya kepada Roketkini.
Pagi ini, seramai 300 orang peneroka berarak ke Parlimen untuk menyampaikan memorandum yang ditandatangani seramai 3,015 orang agar memberi lesen persendirian supaya mereka dapat menjual hasil terus kepada kilang tanpa melalui Felda.
Namun, usul itu yang dibawa Ahli Parlimen PKR Subang R Sivarasa ditolak oleh Pandikar atas alasan teknikal kononnya melanggar peraturan 19(1)(a).
Ahli Parlimen Gombak yang bersama pimpinan PR lain menerima memorandum tengah hari tadi menyatakan, walaupun usul ditolak, beliau positif melalui keberanian yang ditunjukkan peneroka, suara mereka pasti akan didengari.
“Walaupun perbahasan dihalang tetapi peneroka tidak kalah. Tuntutan mereka akan kita teruskan dan perubahan pasti berlaku,” katanya di depan bangunan Dewan Rakyat. -Roketkini.com