HARAKAHDAILY
KLANG: Kira-kira 100 umat Islam dari Sekretariat Solidariti Umat Islam Daerah Klang hari ini berhimpun secara aman di perkarangan Padang Sultan Sulaiman di sini bagi membantah kenyataan Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung penggunaan kalimah 'Allah'.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Saroni Judi berkata perhimpunan itu diadakan kerana sekretariat yang terdiri daripada beberapa gabungan badan bukan kerajaan dan parti politik itu kesal dengan tindakan Paderi Lawrence yang masih enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
"Kami akan menghantar satu surat bantahan terbuka kepada Lawrence hari ini untuk menyatakan kekesalan terhadap tindakannya yang tidak akur terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu penggunaan kalimah Allah ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.
Turut hadir beberapa wakil NGO yang bernaung di bawah sekretariat itu termasuk Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Klang, Belia 4B cawangan Klang, Jati serta Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
Sekretariat itu pada awalnya merancang mengadakan perhimpunan di hadapan Church of Lady Lourdes di sini, tetapi menukar lokasi mereka ke Padang Sultan Sulaiman sebagai menghormati kebebasan beragama penganut Kristian.
Pada 27 Dis lepas, Lawrence menerusi portal berita 'The Malaysian Insider' berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Malaysia walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.
Sementara itu, perhimpunan mingguan pertama untuk tahun ini bagi penganut Kristian di gereja St Anne's di Pelabuhan Klang di mana Lawrence adalah paderinya, berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.
Lawrence yang kelihatan tenang ketika dan selepas menyampaikan khutbah dalam gereja mengucapkan terima kasih kepada polis yang sentiasa mengawasi keadaaan sekitar gereja itu. - Bernama