THE MALAYSIAN INSIDER
Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid (gambar) berkata bible yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak akan dipulangkan kerana jelas Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) menggunakan kalimah Allah.
Beliau berkata terdapat bukti kukuh PBM melanggar enakmen negeri dengan menggunakan kalimah Allah dalam terbitan bible berkenaan.
“Bagaimana kita mahu memulangkan sesuatu yang diklasifikasikan sebagai bahan bukti,” katanya kepada portal berita The Star hari ini.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail masih berpegang kepada kenyataan sebelum ini tiada pendakwaan yang akan dilakukan kepada PBM selepas Jais merampas bible bahasa Melayu dan Iban dari premis persatuan itu, Januari lalu.
Katanya, tiada huraian lanjut perlu diberikan kerana kenyataannya pada Rabu jelas menerangkan segala-galanya.
“Saya sudah membuat kenyataan sebelum ini. Saya tidak berhasrat untuk mengulas lanjut.
“Saya berpegang kepada pandangan saya,” katanya kepada akhbar milik Umno Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia.
Mengulas kenyataan Tamyes, Pengerusi Biro Guaman Pemuda MCA Choo Wei Sern berkata keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) merupakan ancaman serius kepada keadilan negara.
“Ia jelas tidak menghormati undang-undang dan hak rakyat Malaysia mengamalkan kepercayaan agama masing-masing berlandaskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada The Star.
Sementara itu, pengamal undang-undang Syariah Dr Abdul Shukor Ahmad berkata Mais dan Jais tiada sebab menahan bible berkenaan.
Katanya, keputusan untuk mendakwa PBM tidak selari dengan kenyataan Gani yang berpandangan kitab berkenaan tidak boleh dijadikan bahan bukti.
“Jika tiada pendakwaan, bagaimana bible boleh dijadikan bahan bukti?” katanya kepada The Star.
Semalam, Mais dalam kenyataannya, dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk menutup kes itu dan mendakwa kerajaan negeri Selangor tiada kuasa mengarahkan Jais memulangkan bible berkenaan.
Katanya, 321 bible yang dirampas dari premis PBM di Damansara Kim pada Januari lalu tidak akan dipulangkan dan mahu tindakan diambil kepada persatuan itu kerana mengedarkan bible berbahasa Melayu dan Iban.
Pengerusi Mais, Datuk Adzib Mohd Isa berkata beliau percaya ia merupakan kes mengikut enakmen agama bukan Islam.