Che Gayah 
Che Gayah


KUALA TERENGGANU – Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa proses pembentukan fenomena El Nino kini sedang berlaku dan berada pada tahap 65 hingga 80 peratus buat masa ini.

Perkara itu dijelaskan sendiri Ketua Pengarahnya, Datuk Che Gayah Ismail yang menyifatkan negara (Malaysia) masih berada pada tahap pembentukan fenomena yang sama seperti bulan lalu.

“Fenomena El Nino dijangka berlaku di antara Jun hingga Ogos, tetapi buat masa ini masih dalam pembentukan. Memang sekarang pembentukan fenomena ini dilihat semakin meningkat tetapi kita tak boleh putuskan lagi bahawa ia sudah berlaku di negara ini,” katanya kepada media ketika ditemui pada Program Latih Amal Tsunami di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr Rosli Mohamed dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Rosdi Muda.

Gayah berkata, El Nino akan berlaku apabila suhu air di permukaan Lautan Pasifik berdekatan Garisan Khatulistiwa berlaku peningkatan lebih tinggi daripada biasa iaitu melebihi 0.5 darjah celsius.

Sebelum ini, Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini.

Untuk pengetahuan umum, negara pernah dilanda El Nino sebanyak 12 kali dan yang terburuk pada 1982, 1983, 1997 dan 1998.