Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Kesemua ADUN Barisan Nasional (BN) Selangor bersetuju sebulat suara dengan cadangan ADUN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik yang mengusulkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan kemungkinan pelaksanaan hudud di Selangor.
ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak ketika dihubungi Antarapos berkata, hasil mesyuarat membabitkan kesemua 12 ADUN BN dari Umno di negeri ini hari ini memutuskan, usul berkenaan tiada masalah untuk dibangkitkan dalam DUN.
"Iya (sokong).. tiada masalah pada kita.
"Pihak BN yang kemukakan, pastilah kita ADUN BN mengalu-alukannya," ulasnya ringkas berhubung penerimaan kesemua ADUN BN Selangor terhadap usul berkenaan.
Hari ini, Speaker DUN, Hannah Yeoh memberitahu, beliau meluluskan usul tersebut untuk dibahaskan di persidangan DUN pada 16 Jun ini.
Kamarol Zaki dilapor telah menghantar usul minggu lepas kepada DUN Selangor agar kerajaan negeri digesa mengkaji kemungkinan melaksanakan hudud.
Salinan usul yang dicadangkan di bawah peraturan 26 Peraturan Tetap Dun itu menyebut:
“Bahawa dewan yang mulia ini menggesa agar kerajaan negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama persekutuan.”
Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Selangor berkata, Umno perlu melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negeri yang dikuasai mereka jika benar-benar ikhlas ingin mendaulatkan syariat Islam dan tidak hanya bermain politik.
Turut membantah usul tersebut ialah MCA dan GERAKAN yang mendesak Kamarol Zaki menarik balik usul berkenaan.
Bagaimanapun, Sulaiman juga memuji Hannah yang meluluskan usul tersebut kerana adalah menjadi hak ADUN untuk membawa apa sahaja usul yang difikirkan perlu.
"Ahli-ahli Dewan berhak membawa apa-apa usul yang difikirkan sesuai, dan sepatutnya Speaker tak patut memberi halangan apa-apa. Dan kalau Speaker dah beri lampu hijau, itu satu perkara yang dialu-alukan," katanya lagi.
Mengenai kenyataan Iskandar, Sulaiman berkata, PAS seharusnya menyokong cadangan berkenaan kerana hudud adalah perjuangan parti itu sejak dahulu lagi.
"Mereka sepatutnya menyokong hujah kita.. sepatutnya PAS berterima kasih sebab BN bawa cadangan ini, dan mereka sepatutnya menyokong.
"Kenapa pula ADUN PAS tak pernah kemukakan dalam dewan sebelum ini? Ini bukan soal politik..Kalau dia kata kenapa Umno baru sekarang nak cadang, kenapa mereka yang dah jadi kerajaan negeri tak pernah kemukakan? Bila ADUN BN kemukakan, kenapa rasa terancam pula," soalnya.