ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM : Tun Daim Zainuddin berkata, kerajaan mesti bersedia berbahas mengenai isu-isu yang dianggap kritikal oleh golongan muda bagi menarik mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, antara isu berkenaan ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) dan kedudukan bumiputera dalam TTPA, soal rasuah, keselamatan, inflasi, harga rumah, pelajaran, pembaziran, kemiskinan bandar dan graduan muda.
"Jika kerajaan anggap ini semua baik, kenapa takut hendak berbahas," katanya yang temui dengan berkerusi roda dalam wawancara eksklusif Berita Harian yang disiarkan hari ini.
Daim, 76, merupakan tokoh politik dan ahli perniagaan berpengaruh dan kerap dilihat berperanan di belakang tabir pentadbiran negara serta orang yang dipercayai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Daim yang berasal dari Alor Setar Kedah, pertama kali menjadi Menteri Kewangan pada 1984 dan kali kedua memegang jawatan yang sama ialah pada 1998.
Dalam wawancara dua muka penuh itu, beliau turut mengkritik kerajaan terlalu tertumpu kepada pemberian 'hands-out' yang setiap kali diberi maka kerajaan dituduh membeli undi.
"Kerajaan kata kerajaan juga mahu pembaharuan. Rakyat tidak nampak pembaharuan. Ini masalah. Jika kita dapat menarik orang muda masuk BN/Umno selesai masalah. tetapi mereka tolak kerana ada yang cuba hendak masuk dihalang, mereka kecewa," katanya.
Beliau berkata, Umno dan BN sudah tua dan disebabkan faktor usia maka pelbagai masalah timbul hingga tidak mendapat sokongan orang bandar dan pengundi muda.
"Kalau nak masuk pun susah...adanya sabotaj sana sini. Dulu orang masuk Umno berjuang menyekat Malayan Union, mendapai kemerdekaan dan kini masuk Umno atas sebab lain.
"Orang muda berpendidikan tinggi. Mereka boleh berfikir dan timbulkan banyak persoalan. Mereka tidak nampak sebab perlu masuk Umno," katanya.
Namun katanya, tidak semestinya semua ideanya adalah betul dan tujuan beliau memberi teguran serta bersifat kritikal adalah kerana sayangkan negara dan Umno dan bukannya ada tujuan lain termasuk mahu memburukkan sesiapa.
"Saya sudah bersara, tidak ada kepentingan apa, saya tegur kerajaan untuk kebaikan. Tidak salah berbahas, jika betul kita terima dan jika salah tidak perlu diambil.
"Apa guna hantar anak-anak ke universiti tetapi apabila mereka tegur kita tidak mahu terima. Mereka kemukakan soalan kepada kerajaan dan kerajaan perlu menjawabnya, mereka ini m ahu tahu saja," katanya dalam wawancara siri pertama, manakala siri kedua disiarkan esok oleh akhbar itu.