KUALA LUMPUR – Polis membuat keputusan untuk menangguhkan operasi cermin gelap sehingga Kementerian Pengangkutan mengumumkan keputusan kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap yang diadakan baru-baru ini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff berkata, pada 15 Mei lalu, operasi cermin gelap yang melebihi kadar ketelusan diluluskan dijangka dilaksanakan ketika Op Warta bagi memburu pesalah trafik pada 16 Jun ini.

“Kita bagaimanapun menangguhkan operasi cermin gelap sehingga kementerian berkaitan mengumumkan keputusan kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada pemilik kenderaan menggunakan lampu mata arah (beacon light) atau ‘stroke light’ supaya menanggal dan menghentikan penggunaannya kerana ia dilarang mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Dalam laporan media pada 15 Mei lalu, polis akan melancarkan operasi besar-besaran memburu pesalah trafik yang enggan menyelesaikan kira-kira 1.9 juta saman tertunggak dan waran tangkap.

Sebelum ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan kerajaan akan mengkaji semula aspek penggunaan cermin gelap, termasuk peraturan sedia ada, penguatkuasaan, keselamatan dan kepenggunaan.