Abdul Khalid IbrahimAbdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan berlaku catuan semula air walaupun negara sedang mengalami musim kering akibat fenomena El Nino.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi bagi memastikan bekalan air mentah di kesemua empangan utama mencukupi sepanjang fenomena tersebut yang dijangka berlarutan sepanjang tiga bulan akan datang.

“Taklimat oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (Upen) pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, kita dimaklumkan bahawa penggunaan kolam sumber air diteruskan untuk mengepam air kolam ke sungai ketika aliran rendah dan menakung air sungai ketika terdapat aliran sungai yang banyak.

“Terdapat 20 pam telah diletakkan di sembilan buah kolam sumber air yang berkemampuan menyediakan air mentah sebanyak 800 juta liter sehari (JLH) untuk menampung pengeluaran air mentah daripada Sungai Tinggi dan Sungai Selangor,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Abdul Khalid memaklumkan, dengan perancangan yang ada ini, kerajaan Selangor yakin boleh menghadapi musim kering kesan daripada fenomena El Nino dan setakat ini tidak ada rancangan untuk membuat catuan semula.

Dengan perancangan tersebut kata Khalid, pengeluaran air mentah dari Sungai Selangor dapat diminimumkan bagi membolehkan bekalan air terawat di Loji Sungai Fasa 1, 2 dan 3 dapat disalurkan seperti biasa.

Tambahnya, sebagai usaha lain untuk menambahkan bekalan air mentah, kerajaan negeri berusaha mencari sumber air bawah tanah, selain melakukan operasi pembenihan awan yang melibatkan kepakaran wakil Bureau of Royal Rainmaking and Agricultural Aviaton of Thailand.

Pada masa sama, pensampelan kualiti air kolam sumber air tersebut akan diteruskan dengan kekerapan yang lebih tinggi bagi mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyuarakan kebimbangan catuan semula bekalan air yang dijangka berlaku di Lembah Klang jika paras air di Empangan Sungai Selangor merosot ke tahap membimbangkan akibat fenomena El Nino.

Memetik kenyataan beliau sebelum ini: "Buat masa ini, paras air di Empangan Sungai Selangor hanya meningkat tujuh peratus kepada 43 peratus berbanding 36 peratus pada dua bulan lalu ketika catuan bekalan air dilakukan.”

Antara Februari hingga April lalu, sebahagian kawasan di Selangor dan Lembah Klang mengalami catuan air secara berjadual dan berperingkat selama tiga bulan ekoran kekurangan bekalan semasa musim panas.