Dr Asri


SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu disarankan supaya mengakui kepimpinan dua sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar As Shiddiq dan Saidina Umar Bin Khattab sebagai bukti tidak terlibat fahaman Syiah.

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan perkara itu melalui laman Facebooknya hari ini bagi menangkis dakwaan yang dikenakan kepadanya.

Mohd Asri yang dipetik sebagai berkata, Mohamad atau Mat Sabu perlu mengistiharkan kepada umum kepimpinan dua sahabat Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang sah.

"Mudah saja, kalau Mat Sabu bukan Syiah dia hendaklah mengisytiharkan pada umum bahawa beliau mengakui kepimpinan Abu Bakar dan Umar sebagai pemimpin yang sah lagi berada atas landasan petunjuk ALLAH dan Rasul-NYA," tulisnya.

Semalam, media melaporkan KDN meminta  Mohamad   tampil mengemukakan bukti jika dirinya tidak terlibat dengan fahaman Syiah.

Pegawai Agama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu juga perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN sebelum ini yang mengaitkannya dengan fahaman itu.

"Kalau kata bukti-bukti ini tidak cukup kuat, (Mohamad) sila jawab secara ilmiah untuk menafikan 10 bukti berkenaan. Tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan KDN, jawab dalam YouTube atau dalam surat khabar," katanya.