Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

DAP: Tak wajar bina insinerator di Johor

$
0
0
MALAYSIAKINI


 


Cadangan kerajaan pusat untuk membina insinerator di Johor adalah satu cadangan yang tidak wajar, kata  Pengarah Polisi DAP Johor, Wong Shu Qi.

"Benarkah rakyat Johor memerlukan insinerator dibina dekat Bukit Payung, dalam keadaan masih banyak pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan sisa pepejal?" soalnya yang juga ADUN Senai.

Dalam satu kenyataan semalam, Wong berkata masanya telah tiba untuk rakyat Johor meneliti cadangan untuk membina insinerator tersebut.

"Adakah ini cara yang paling tepat untuk menyelesaikan masalah sisa pepejal yang semakin bertambah dengan perkembangan pesat di negeri Johor?

"Saya tidak menafikan bahawa insinerator mungkin merupakan satu langkah yang sesuai hanya selepas kita berjaya mengurangkan sisa domestik; dan insinerator yang mahu dibina  itu juga hendaklah mengikut syarat dan diselenggara dengan cara yang betul dan boleh diterima.

"Bagaimanapun, saya tidak setuju dengan pembinaan satu insinerator di Bukit Payung memandangkan pihak berkuasa berkenaan belum lagi selesai menggunakan kesemua usaha yang ada untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal," tegasnya.

Dalam sidang DUN yang sedang dijalankan, katanya, beliau telah menekankan beberapa kali dalam ucapan perbahasannya bahawa, lebih kurang 50 peratus  sisa pepejal domestik adalah sisa makanan.

"Sisa makanan tidak sepatutnya dilupus terus, sisa makanan boleh menjadi baja kompos organik, tetapi kita buang dan lupuskan sahaja.

"Jika kita mengurangkan sisa pepejal domestik sebanyak 50 peratus ini dengan cara yang betul, bukan sahaja kita dapat mengurangkan perbelanjaan untuk melupus sisa, kita juga menyelesaikan masalah sisa pepejal," tambahnya.

Oleh itu, beliau berpendapat bahawa cadangan kerajaan pusat untuk membina insinerator di Johor adalah cadangan yang tidak wajar.

"Sisa makanan adalah sisa basah, bagaimanakah kita hendak membakar bahan basah?" katanya.

Sebelum pembinaan tersebut diluluskan, tambahnya, kerajaan negeri Johor sepatutnya mengkaji semula pengurusan sisa pepejal.

"Sudahkah kita menggunakan semua usaha yang ada untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal? Adakah pengasingan sisa dijalankan?" tegasnya.

Menurutnya, Johor adalah salah sebuah negeri yang bersetuju dengan pelaksanaan konsesi pengurusan sisa pepejal pada peringkat awal berbanding negeri lain.

"Kita menyerahkan kuasa pengurusan sisa pepejal kepada kerajaan pusat dengan harapan untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik.

"Malangnya, selepas tujuh tahun kuasa diserah, kegiatan pengasingan sisa di sumber tidak dilaksanakan, jumlah sisa kian meningkat dengan penduduk yang kian bertambah lantaran pembangunan yang kian pesat.

"Oleh itu, kerajaan pusat mencadangkan pembinaan insinerator agar menyelesaikan semua masalah sisa melalui pembakaran," katanya.

Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab menggubal akta-akta dan dasar-dasar,  Wong berkata beliau amat kecewa dengan sikap kerajaan yang sedemikian.

"Kita sepatutnya mengkaji semula dasar pengurusan sisa pepejal negeri Johor dan seluruh negara. Projek pembinaan insinerator perlu dikaji semula, pandangan penduduk tempatan dan semua rakyat perlu diambil berat.

"Oleh yang demikian, saya menggesa kerajaan pusat serta kerajaan negeri menangguhkan projek pembinaan insinerator Bukit Payung," katanya.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722