Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Penunggang agama ibarat barah kepada umat Islam

$
0
0

Penunggang agama ibarat barah kepada umat Islam

Oleh Muhammad Faiz Na’aman
 
 
Apabila kita mengkritik sekolah tahfiz sebagai contoh, perlulah umat Islam berlapang dada andai kritikan itu membina.
 
 
 



Baru-baru ini, negara dikecohkan dengan cadangan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin agar sekolah tahfiz ditutup di seluruh negara.

Seruan tersebut mendatangkan perasaan kurang senang umat Islam negara ini yang rata-ratanya menganggap ia merupakan pencabulan hak pendidikan Islam di Malaysia.

Malah, tidak kurang juga netizen yang mempersoalkan kenapa pula sekolah tahfiz yang hendak ditutup, tetapi bukan sekolah vernakular yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?
Sekali lagi yang dipersalahkan dalam soal ini ialah kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH), walhal Zainudin adalah salah seorang bekas pemimpin Umno dan tiada rekod menyatakan beliau merupakan ahli dalam mana-mana parti komponen PH atau mengundi PH dalam pilihan raya umum lalu.

Sungguhpun bekas ketua pengarang Utusan Melayu tersebut mempunyai alasan tersendiri, namun cadangannya supaya sekolah tahfiz ditutup merupakan idea yang ekstrem dan ditolak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Pendidikan.

Ya, kita sedar mana-mana sistem pendidikan tiada yang sempurna, apatah lagi untuk menepati realiti sosio budaya masyarakat majmuk seperti di negara ini yang mendambakan suatu pendekatan lebih holistik, seimbang dan sederhana.

Umat Islam juga diseru muhasabah diri, renungkanlah sebab-musabab kemunduran banyak negara Islam di dunia pada hari ini sehingga menjadi mangsa percaturan geopolitik pihak Barat. Ia semua bertitik tolak dari asas pendidikan generasi Muslim itu sendiri.

Setelah kejatuhan Empayar Abbasiyah, pengajian agama seolah-olah dipisahkan terus daripada ilmu-ilmu keduniaan seperti sains dan teknologi. Lantas ia menghasilkan pecahan 2 komuniti Islam yang sehingga kini dilihat kontras antara satu sama lain, iaitu golongan ulama dan umara.

Daripada pembahagian inilah wujudnya kelompok ekstrem dari kedua-dua belah pihak, satu yang gemar menunggang agama bagi tujuan politik dan perniagaan, manakala satu lagi yang terlampau bersifat liberal hingga menyokong sekularisme.

Umat Islam lebih cenderung terbuai emosi kelompok penunggang agama tersebut berbanding mereka yang pro-liberal.

Apabila kurangnya budaya berfikiran kritis dari kalangan umat Islam terutama di negara ini, akibat daripada cara didikan yang terlampau mementingkan arahan “ikut dan percaya sahaja”, maka kita melahirkan generasi umat Islam yang sukar berfikiran rasional, apatah lagi di luar kotak bagi menghadapi isu-isu semasa.

Keadaan sebeginilah merupakan medium terbaik untuk kelompok penunggang agama berkembang biak sama ada melalui badan bukan kerajaan, parti politik mahupun melalui syarikat perniagaan tertentu.

Sentimen agama mudah “dijual” kepada umat Islam negara ini kerana apa jua yang dilabel Islam oleh manusia lain yang tidak maksum itu mudah dianggap sebagai suatu kebenaran yang tidak patut dipersoalkan lagi oleh mereka yang konservatif.

Lambat-laun, akibat provokasi sentimen agama berterusan, ada di kalangan umat Islam negara ini yang mengambil pendekatan ganas dan melanggar akhlak serta hukum ajaran sebenar Islam itu sendiri.

Sebagai contoh tindakan memijak kepala lembu dan memecahkan botol arak secara terbuka. Ia jelas menggambarkan kejahilan individu itu sendiri kerana respons sedemikian langsung tidak menaikkan martabat Islam itu sendiri.

Apabila kita mengkritik sekolah tahfiz sebagai contoh, perlulah umat Islam berlapang dada andai kritikan itu membina.

Bukan asing lagi sekolah tahfiz persendirian dikaitkan dengan tragedi kebakaran hingga meragut nyawa akibat tidak mengikut piawai keselamatan, ditambah lagi ada pengusaha sekolah tahfiz yang lebih pentingkan unsur-unsur komersialisme hingga mengekploitasi anak-anak tahfiz untuk mengutip derma atau menjual produk, malah hingga kepada kes-kes jenayah seksual.

Ya, bukan semua sekolah tahfiz begitu dan ada juga lulusan tahfiz yang cemerlang dalam bidang sains, tetapi berapa peratusannya?

Perlu diwujudkan suatu kajian terperinci mengenai sistem sekolah tahfiz ini agar ia dapat ditambah baik dan mengelakkan Islam terfitnah. Itu yang sedang diusahakan Jakim dan Kementerian Pendidikan.

Ia bagi menghapuskan benih-benih ekstremisme dan kejumudan yang kelak boleh menyuburi kelompok penunggang agama di negara ini.

Islam maju di zaman khalifah dahulu kerana sistem pengajiannya yang seimbang antara ilmu dunia dan akhirat. Seseorang ulama tersohor di zaman silam mempunyai pelbagai kemahiran duniawi yang bermanfaat untuk manusia sejagat.

Dr Muhammad Faiz Na’aman ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722