Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

‘Hakim Mahkamah Persekutuan dipilih secara undian, tiada lagi lantikan’

$
0
0

 
Ketua hakim negara berkata, cadangan itu bagi mengelakkan sebarang tohmahan dan unsur negatif dalam pembahagian kes serta pemilihan panel.


Richard Malanjum berkata, kes melibatkan isu Perlembangaan akan didengar panel 9 hakim berbanding 5 sebelum ini dengan dianggotai hakim memegang 4 jawatan tertinggi. (Gambar Bernama)


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Richard Malanjum berkata, panel hakim bagi kes yang didengar di Mahkamah Persekutuan akan dipilih melalui undian dan tidak lagi menerusi lantikan.

Beliau berkata, cadangan itu bagi mengelakkan sebarang tohmahan dan unsur negatif dalam pembahagian kes serta pemilihan panel.

Sebelum ini, pemilihan panel hakim Mahkamah Persekutuan diputuskan ketua hakim negara.

Selain itu, katanya, kes melibatkan isu Perlembangaan akan didengar panel 9 hakim berbanding 5 sebelum ini dengan dianggotai hakim memegang 4 jawatan tertinggi.
Beliau berkata, kes kepentingan awam di Mahkamah Persekutuan didengar panel 7 hakim, manakala kes rayuan lain didengar panel 5 hakim.

Malanjum berkata, panel Mahkamah Persekutuan dianggotai 3 hakim akan mendengar permohonan kebenaran merayu dan ahli panel berkenaan akan ditentukan secara undian.

“Kes rayuan yang berasal dari Mahkamah Sabah dan Sarawak ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pula akan didengar panel yang dianggotai sekurang-kurangnya seorang hakim berasal dari Sabah atau Sarawak.”

Beliau berucap pada Majlis Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Angkat Sumpah Jawatan serta Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Istana Kehakiman, hari ini.

Beliau berkata, bagi panel 9 hakim dan 7 hakim, ahli panel berkenaan akan terdiri daripada hakim memegang 4 jawatan tertinggi dalam badan kehakiman dan ahli panel lain dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan yang akan dipilih secara undian.

Malanjum berkata, bagi kes rayuan lain, panel 5 hakim akan dipengerusikan salah seorang hakim tertinggi, manakala 4 ahli panel dipilih secara undian.

Pada masa ini, panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes rayuan dan permohanan semakan dianggotai 5 hakim, manakala panel 3 hakim bagi pendengaran permohonan kebenaran merayu.

Dalam ucapan pertamanya, Malanjum berkata, beberapa pendekatan baru akan dilaksanakan, termasuk konsep pengurusan bersama dan berkumpulan di mana hakim memegang 4 jawatan tertinggi akan diberi kuasa dan tanggungjawab sama dalam segala hal berkaitan dasar serta penyertaan dalam pengurusan badan kehakiman.

“Setiap peringkat mahkamah, iaitu Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi akan diterajui hakim kanan mengikut peranan seperti mana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hakim-Hakim tersebut akan bertanggungjawab untuk menguruskan perihal mahkamah masing-masing.”

Malanjum berhasrat memperkenalkan sistem “time-sheet” di peringkat Mahkamah Tinggi untuk menggalakkan pengurusan masa mahkamah yang lebih berkesan dalam kalangan hakim dan pegawai kehakiman serta memastikan hakim dan pegawai kehakiman tidak dituduh ponteng.

Katanya, sistem berkenaan yang dilaksanakan secara berkomputer diperkenalkannya 2 tahun lalu di Mahkamah Sabah dan Sarawak.

Di majlis itu, Tan Sri Ahmad Maarop, 65, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk David Wong Dak Wah, 64, mengangkat sumpah jawatan sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, bekas ketua hakim negara, Tun Raus Sharif dan bekas presiden Mahkamah Rayuan menghadiri upacara serah tugas kepada Malanjum serta Ahmad pada sebelah pagi di kamar ketua hakim negara di Istana Kehakiman.

Kenyataan itu juga menyatakan upacara pengurniaan watikah pelantikan dan majilis angkat sumpah jawatan serta taat setia bagi Tan Sri Zaharah Ibrahim yang dilantik sebagai hakim besar Malaya yang baru akan diadakan dalam masa terdekat kerana beliau berada di luar negara.

Semalam, Malanjum, 65, mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara yang baru berkuat kuasa serta-merta, selepas beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Baginda juga memperkenan dan mengurniakan watikah pelantikan kepada Ahmad sebagai presiden Mahkamah Rayuan dan Wong sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722