Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hasan berkata kerajaan PH hanya 'memekakkan telinga' dan 'membutakan mata' untuk melihat reaksi bimbang umat Islam.

Nasrudin Hasan berkata Islam sudah terumbang-ambing di zaman BN, kini ke arah lebih teruk dan buruk di zaman PH. (Gambar Facebook)
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hasan berkata, harapan melihat agama Islam lebih terbela di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) semakin berkecai.
“Melihat 3 posisi penting diisi individu, meresahkan umat Islam, maka apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam melihat masa depan Islam terbela di Malaysia.
“Terutamanya dalam hal melibatkan undang-undang. Paling meresahkan melihat rekod penghakiman ketua hakim negara yang baharu ini.
“Agak jelas kelihatan corak penghakiman yang tidak menyebelahi Islam dalam beberapa kes penting,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Tan Sri Richard Malanjum mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara yang baharu berkuat kuasa serta merta selepas menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Malanjum, bekas hakim besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai ketua hakim negara pada 31 Julai.
Manakala, Datuk Liew Vui Keong dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian hal ehwal Undang-Undang) disusuli perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara pada awal Jun lalu.
Nasrudin berkata, kerajaan PH hanya “memekakkan telinga” dari mendengar keluhan dan teguran umat Islam serta “membutakan mata” untuk melihat reaksi bimbang umat Islam.
“Episod apa lagi bakal disaksikan umat Islam selepas ini. Sudahlah Islam terumbang-ambing di zaman kerajan BN, ternyata perubahan dilaungkan rupanya ke arah lebih teruk dan buruk.
“Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?” soalnya.
Beliau berkata keputusan melantik ketua hakim baharu turut dilihat sebagai tindakan tergopoh-gopah memandangkan peletakan jawatan Tun Md Raus Sharif berkuatkuasa 31 Julai.
“Perlantikan Richard menjadikan Malaysia mempunyai 2 orang ketua hakim negara sebelum berakhir 31 Julai ini. Mungkin Md Raus dipaksa membuat surat peletakan jawatan berkuatkuasa serta merta?
“Jika masih kekal, peletakkan jawatannya efektif pada 31 Julai, maka apakah ini suatu langkah yang berpelembagaan. Apakah ia juga bermakna sudah ada campurtangan kerajaan dalam sistem judisiari,” katanya